Lewat ini, tidak kira lelaki mahupun perempuan, mereka gemar untuk mencari cinta di alam maya. Temu janji dalam talian ataupun dikenali sebagai “online dating” mungkin mampu untuk memberikan anda cinta dan keseronokan. Namun yang demikian, anda juga perlu berhati-hati dalam “online dating” kerana diluar sana mungkin terdapat orang yang patut anda jauhi supaya anda tidak ditimpa bahaya.
Disini Wanista ingin berkongsi 5 perkara yang patut dan juga tidak patut anda buat dalam “online dating” supaya anda terlepas daripada risiko bahaya:
1) Jangan dedahkan butiran peribadi di profil anda
Pastikan anda sentiasa berhati-hati dalam mendedahkan butiran peribadi anda di internet. Jika boleh, pastikan butiran yang anda kongsikan itu seminimum yang mungkin. Butiran-butiran peribadi seperti nombor telefon, alamat rumah, alamat pejabat, dan juga email anda sepatutnya disimpan sebaik mungkin tanpa didedahkan kepada orang luar supaya anda tidak perlu takut dihubungi selain daripada media sosial tersebut.
2) Pilih tempat yang terbuka dan jelas untuk berjumpa
Temu janji pertama anda haruslah dibuat di tempat awam ataupun terbuka seperti kafe ataupun restoran. Jauhi perjalanan jarak jauh dan pastikan anda bertemu dengan orang yang anda rasa selesa dan yakin selamat apabila bersama. Selain itu, pastikan juga anda memberitahu keluarga atau kenalan rapat anda mengenai tempat yang anda tuju itu.
3) Jangan terlalu cepat kongsikan maklumat peribadi anda
Jika anda baru berkenalan dengan seseorang, pastikan anda tidak terburu-buru untuk memberikan segala butiran peribadi anda seperti nombor telefon atau email kepadanya. Anda harus pastikan anda betul-betul mengenali orang itu, barulah bertukar-tukar nombor telefon.
4) Hati-hati dengan pemangsa yang sedang menunggu diluar
Dalam sibuk mencari cinta di internet, anda juga harus ingat bahawa ramai manusia jahat ataupun kita panggil sebagai pemangsa yang sedang menunggu anda untuk dijadikan mangsa mereka. Elakkan diri anda daripada orang-orang seperti ini:
- Terus minta maklumat peribadi anda tanpa betul-betul berkenalan
- Minta anda berikan duit
- Tiada gambar sebenar di profil
- Hantar kepada anda alamat laman web yang pelik
Jika anda jumpa orang seperti itu, jauhi mereka dan sebolehnya buat laporan berkenaan orang tersebut secepat mungkin.
5) Gunakan laman web ataupun media sosial yang anda percaya
Kebanyakan laman web mempunyai ciri keselamatan mereka yang tersendiri untuk jauhi orang yang mencurigakan. Buat penilaian pada informasi apa yang mereka minta – baca “privacy policy” bagi setiap laman web yang anda gunakan untuk mencari “online date” anda.
Semoga segala info yang dikongsikan ini bermanfaat buat anda semua.
Selamat mencari cinta!