Menurut laporan Berita Harian, pada 27 Oktober, iaitu semalam, Shah Alam telah dilanda banjir kilat disebabkan oleh hujan lebat tanpa henti selama hampir dua jam. Antara kawasan yang terjejas akibat hujan lebat tersebut adalah kawasan di sekitar Jalan Sungai Rasau dan Padang Jawa. Tinjauan Berita Harian pada tempat kejadian mendapati, hujan lebat yang bermula kira-kira jam tiga petang itu mengakibatkan berlakunya kesesakan lalu lintas di kawasan berhampiran, manakala beberapa kereta yang rosak diletakkan di sekitar jalan berkenaan kerana dimasuki air.
Wan Samsul Ridzuan Wan Idris, 26, berkata ketika kejadian dia meletakkan kenderaan di tepi jalan utama kerana mempunyai urusan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Jalan Padang Jawa.
“Sebaik selesai urusan di JPJ, saya segera pulang dan ketika itu hujan sedang lebat. Namun, sebaik sahaja melalui jalan Sungai Rasau, saya terkejut apabila air secara tiba-tiba masuk ke dalam kereta. “Saya kemudiannya segera menghubungi rakan bagi membantu untuk alihkan kenderaan ke tempat yang lebih tinggi,” katanya.
Sementara itu, seorang penduduk dari Kampung Padang Jawa, Harun Shah Ahmad Ali, 31, berkata kawasan berkenaan sering berlaku banjir kilat sejak 2008 lagi, berikutan sistem perparitan yang tidak sempurna.
“Memang banjir kilat akan surut dalam tempoh beberapa jam sahaja, namun ia tetapi membimbangkan serta membahayakan nyawa. Saya berharap Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) atau pihak yang bertanggungjawab dalam isu perparitan untuk segera bertindak atasi masalah ini,” katanya.
Sumber: Berita Harian