Tanggal 27 Oktober 2014 yang lalu, bertempat di Kuala Lumpur, beratus-ratus peminat MasterChef Australia di Malaysia sempat bertemu dengan George Calombaris. Chef selebriti dan juri siri memasak yang popular ini datang untuk mempromosi musim baharu MasterChef Australia Musim ke-6 yang disiarkan setiap Isnin hingga Jumaat pada jam 7 malam & 11 malam di Lifetime (Saluran Astro 709), di samping mencuba masakan tempatan yang lazat!
Menerusi laman web Lifetime, peminat Malaysia telah mengundi hidangan tempatan kegemaran mereka untuk disajikan kepada Calombaris semasa lawatan beliau di sini. Tiga hidangan yang mengaut undian tertinggi adalah seperti berikut: Nasi Kerabu, Assam Laksa, dan Telur Dadar Tiram Pulau Pinang.
Dapur MasterChef sememangnya dinikmati oleh peminatnya semasa Calombaris berkongsi petua-petua sementara memasak hidangan terbaiknya dengan sentuhan Asia yang dihasilkan sendiri untuk peminat tempatan, iaitu Ayam Rebus dengan ‘Hummus’ Miso dan Salad Mangga Hijau.
“MasterChef Australia kembali ke Lifetime pada 29 September dan berada pada tangga #1 dalam waktu siarannya*. Pada musim ini, kami menemui kumpulan tukang masak amatur terbaik sepanjang pertandingan ini diadakan. Lifetime telah mendapat jumlah peminat yang ramai untuk MasterChef Australia, oleh itu kami amat teruja membawa George bertemu sebahagian daripada peminatnya di rantau ini,” kata Michele Schofield, Naib Presiden Kanan, Program & Pemasaran, A+E Networks Asia.
George Calombaris mengulas tentang lawatannya ke Asia, “Saya sungguh teruja dapat menyertai lawatan MasterChef Australia di Asia. Saya pernah melawat Singapura dan Indonesia pada waktu dahulu, dan ini adalah kali pertama lawatan kerja saya ke Malaysia. Hebat sekali dapat berkongsi minat tentang makanan dengan setiap orang, menikmati juadah tempatan yang lazat serta menyelami budaya tempatan di sini. Bagi saya, makanan adalah keluarga, keluarga adalah kehidupan dan kehidupan adalah segala-galanya.”
Sebagai sebahagian daripada lawatan beliau ke Asia Tenggara, Calombaris ke Singapura pada 28 Oktober dan Indonesia pula pada 30 Oktober.
Di sini, Wanista ingin berkongsi bersama anda sedikit fakta menarik mengenai George Calombaris yang mungkin anda tidak tahu:
1) Memiliki 7 restoran, termasuk 1 di Greece
2) Mewakili Australia di “Olympics of Food”
3) Hilang 20kg pada tahun 2013 untuk tampil sihat
4) Satu daripada tip masakan beliau adalah: jangan sesekali terikat pada resepi