Masihkah anda ingat akan Pian Cecupak yang suatu waktu dulu pernah menggemparkan dunia hiburan tempatan dengan wajah barunya yang dikatakan membuat hidung persis penyanyi Dafi.
Terbaru, pelawak Pian Cecupak disahkan mengalami gangguan mental selepas menerima gelaran Datuk daripada kumpulan puak Naning negeri itu pada pertengahan tahun ini. Pian atau nama sebenarnya Rafik Raman berkata gelaran itu benar-benar menyumbang kepada tekanan jiwanya sehingga masalah berkenaan tidak dapat dikawal.
“Terlalu banyak tekanan yang saya terima akibat gelaran itu termasuklah hinaan serta kata-kata kesat orang terhadap saya selama ini,” ujarnya.
Pada Mei lalu, Pian bersama dua teman artis iaitu Boy Iman dan penyanyi Nash (Lefthanded) telah menerima Darjah Jaksa Naning Melaka yang membawa Datuk daripada kumpulan puak itu. Majlis pengurniaan darjah kebesaran itu dilakukan semperna hari keputeraan Orang Kaya Seri Raja Merah Dato’ Undang Naning Ke-21, Datuk Nordin Abd Jalil yang diadakan di A Famosa Resort, Melaka pada 4 Mei 2014.
Gelaran berkenaan tidak diiktiraf oleh mana-mana kerajaan negeri dan juga persekutuan. Bagaimanapun Pian dalam kenyatannya sebelum ini memberitahu dia perlu menerima pengurniaan darjah itu sebagai menghormati pihak terbabit.
Dalam pada itu Pian berkata, tuduhan dan kata-kata hinaan membuatkan dia menjadi murung dan selepas dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada Ogos lalu, doktor mengesahkan dia menghidap masalah mental. Kata Pian, disebabkan penyakit itu dia perlu mendapatkan rawatan selama lapan bulan selain dikehendaki menjalani rawatan kaunseling.
“Jadi saya terpaksa mendapatkan rawatan selama lapan bulan di HKL untuk ubat dan sesi kaunseling agar penyakit saya ini dapat dipulihkan,” ujarnya.