Baru-baru ini bertempat di Kuala Lumpur, organisasi anti-perhambaan yang diketuai belia, Running to Stop the Traffik (RTST) kini sedang mengumpulkan lebih daripada 1000 pelari daripada lebih 50 sekolah di Kuala Lumpur, Hong Kong dan Singapura, menerusi The 24 Hour Race 2014. Objektif larian yang telah dianjurkan selama 4 tahun ini adalah untuk menyatakan pendirian mereka menentang perhambaan zaman moden. Acara ini menandakan penyertaan Malaysia buat pertama kalinya dan sehingga ini, lebih daripada 150,000 orang belia telah melibatkan diri dalam larian ini dan sejumlah wang bernilai HKD 2,500,000 [RM1,051,705] telah berjaya diraih untuk aktiviti kebajikan peringkat awal yang boleh menghalang kewujudan pemerdagangan manusia.
Menurut anggaran, terdapat kira-kira lebih daripada 21 juta lelaki, wanita dan kanak-kanak yang kini hidup dalam perhambaan, satu jumlah yang paling besar dalam sejarah. Mangsa boleh dijumpai di kilang-kilang, tapak pembinaan, bidang perikanan dan di kawasan perkhidmatan seks, membolehkan pemilik mereka meraih keuntungan lebih daripada US$150 bilion setahun.
Pengarah RTST Kuala Lumpur, Kasumi Higewake berkata, “Visi kami adalah dunia yang bebas daripada perhambaan zaman moden mahupun pemerdagangan manusia. Kami merupakan sebuah organisasi yang diterajui oleh belia, khas buat belia yang berkongsi visi yang sama. RTST merupakan organisasi bertujuan kebajikan demi memperkasakan yang lain menerusi penyebaran nilai-nilai penglibatan dan aktivisme.” “Pemerdagangan manusia merupakan isu yang senyap. Ia berlaku di sekeliling kita, tetapi tidak ramai yang menyedarinya. Jadi larian ini akan menyatukan pelajar-pelajar dari seluruh dunia untuk menunjukkan semangat kita dalam membanteras perhambaan zaman moden menerusi sukan ketahanan tinggi,” tambah Higewake.
Orang awam dijemput untuk menunjukkan sokongan mereka terhadap acara ini dengan menyertai karnival yang terdapat di laman Nexus International School sambil memberikan sorakan untuk pasukan yang berlari.
Orang awam juga boleh turut menyumbang menerusi aplikasi mobil Run For Freedom, yang dihasilkan oleh FrogAsia, untuk menimbulkan kesedaran mengenai Pemerdagangan Manusia dan Perhambaan Zaman Moden. FrogAsia akan menderma RM1 kepada RTST untuk setiap kuiz yang telah dilengkapkan dan dikongsi di media sosial. Aplikasi ini boleh didapati di Google Play store.
Acara larian ini dibawakan oleh The Executive Centre, pembekal pejabat servis utama Asia, dengan anggaran untuk meraih HKD 5,000,000 [RM2,103,410] tahun ini. Selain itu, acara ini juga mendapat tajaan dari jenama ternama seperti Bain Capital, Kingdom Wear, Bud On Creation, SG Interactive, Lafuma, Kappa dan Rip Curl.
Tahun ini, RTST akan mengagihkan kutipan pada lima benefisiari, termasuk Persatuan Kebajikan Suara Kanak-kanak Malaysia (SUKA Society) di Malaysia, Freedom Matters, Action Pour Les Enfants (APLE) Cambodia, Blue Dragon Children’s Foundation dan Humanitarian Organization for Migration Economics (HOME) Singapore, badan yang aktif melakukan kebajikan peringkat awal serta aktiviti pemulihan di Nepal, India Utara, Cambodia dan Malaysia. Menderma secara online turut dibolehkan menerusi laman web Just Giving di https://www.justgiving.com/company/runningtostopthetraffik/.
Hadiah akan diberi kepada pasukan lelaki, wanita dan campuran yang berlari pusingan paling banyak dalam tempoh masa 24 jam, serta kepada mereka yang menunjukkan semangat berpasukan paling hebat dan meraih dana paling tinggi.
Info Ringkas The 24 Hour Race:
Bila: Bermula 9 pagi, 15 hingga 16 November di Kuala Lumpur, Hong Kong dan Singapura
Siapa: 20-30 pasukan sekolah yang terdiri daripada 7-9 pelari lelaki atau wanita di lokasi ditetapkan
Apa: Larian berganti-ganti di sekitar Nexus International School (KL), Lugard Road (HK) dan Silver Leaf di Gardens By The Bay (SG)
Bagaimana: Sekiranya anda ingin menyertai atau turut menyumbang tenaga, sila e-mel kl@24hourrace.org atau hello@24hourrace.org atau hubungi (+852) 3757 9639