Mulai bulan ini (November), rakyat Singapura tidak lagi dibenarkan menghisap shisha kerana aktiviti tersebut diharamkan di negara tersebut. Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) dijangka mengharamkan shisha di negara republik itu termasuklah pengimportan dan penjualan rokok tradisional masyarakat Arab itu bermula bulan ini.
Setiausaha Parlimen MOH, Profesor Madya Dr. Muhammad Faishal Ibrahim ketika menjawab soalan sidang parlimen Selasa berkata, shisha jauh lebih bahaya daripada rokok biasa ekoran peningkatan mendadak penghisap shisha dalam kalangan remaja Singapura.
Bancian Kesihatan Kebangsaan mendapati kira-kira lapan peratus belia berusia 18 hingga 29 tahun menghisap shisha manakala laporan terbaharu Kajian Kesihatan Penuntut oleh MOH menunjukkan berlaku peningkatan sembilan peratus pelajar ketagih merokok shisha.
“Bagaimanapun, ketika proses peralihan, lesen pengimport tembakau dan penjual shisha yang sedia ada masih diteruskan sehingga tempoh akhir lesen mereka tamat menjelang 31 Julai 2016 bagi tujuan menghabiskan stok lama,” tegas Dr. Muhammad Faishal.
Pemerintah republik itu mengharamkan larangan merokok di tempat awam sejak 1970 dan peraturan itu diperluaskan ke pelbagai premis terbuka termasuk kelab malam dan pengangkutan awam dengan hukuman denda maksimum S$1,000 (kira-kira RM2,580.).
Satu kajian oleh penyelidik di Universiti California San Francisco mendapati, penghisap shisha sebenarnya terdedah kepada bahan-bahan kimia lain yang boleh mendatangkan risiko kesihatan termasuk penyakit leukemia dan kanser paru-paru. Jelas penyelidik, paras karbon monoksida yang boleh membawa maut dan benzena dalam sisha juga adalah dua kali ganda lebih tinggi berbanding rokok.
Pakar kimia, Peyton Jacob berkata, kebanyakan perokok tegar mencuba shisha kerana beranggapan bahan itu boleh membantu mereka mengurangkan ketagihan kepada tabiat merokok.
Menurut Jacob, kajiannya mendapati kandungan karbon monoksida yang dihasilkan dalam tempoh 24 jam selepas menghisap shisha, adalah 2.5 kali lebih tinggi berbanding menghisap rokok.
“Kesan menghisap sisha dan rokok pada masa yang sama boleh mengakibatkan tindak balas kimia yang lebih berbahaya dan ancaman yang lebih besar iaitu penyakit kanser dan paru-paru,” jelasnya.
Malah, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa tabiat menghisap shisha selama sejam mempunyai kesan yang sama seperti menghisap 100 batang rokok.