Mungkin nama Fadilah Mansor tidak begitu dikenali tetapi bila melihat rupanya baru kita perasan yang pelakon ini selalu muncul di kaca televisyen, kiranya dia banyak berlakon drama TV.
Terbaru, melalui Harian Metro, pelakon ini dikatakan bakal dikahwini oleh Datuk A Rahman Hassan. Fadilah, 54, yang dihubungi berkata, sebagai wanita dia tidak berani bercerita lanjut mengenai butiran majlis itu demi menghormati permintaan A Rahman, 67. Pasangan ini dikhabarkan bakal melangsungkan perkahwinan dalam satu majlis ringkas di sini pada Disember ini.
“Takutlah saya nak cakap dulu. Saya tak nak komen banyak buat masa ini. Insya-Allah, tapi janganlah kecoh-kecoh dulu,” ulas dramatis Fadilah Mansor mengenai ura-ura majlis perkahwinannya dengan penyanyi 60-an Datuk A Rahman Hassan, hujung tahun ini.
“Apa yang saya boleh kongsi kalau umur dah macam ini kalau canang-canang sangat seganlah nanti orang kata over (keterlaluan) pula. Jadi saya ikut saja perancangan abang (A Rahman). Dia tak nak bising-bising dulu sampailah kami betul-betul sedia untuk berkongsi nanti,” katanya.
Difahamkan, pasangan duda dan janda ini mula berkawan selepas mereka hadir pada satu majlis hiburan, beberapa bulan lalu. Fadilah yang juga bekas isteri kepada pengarah filem veteran Ahmad Ibrahim atau Mat London sudah empat tahun bergelar ibu tunggal memiliki dua anak hasil perkahwinan itu. Manakala A Rahman pula bapa tunggal kepada tiga anak termasuk pelakon dan pengarah Khir Rahman, selepas isterinya Datin Azizah Mohamad penyanyi 60-an meninggal dunia pada 26 April tahun lalu akibat kanser.
Fadilah berkata, dia terbuka hati untuk menerima lamaran itu kerana sikap rendah hati dan penyayang dalam diri A Rahman. Sementara itu, A Rahman meminta agar cerita perkahwinan itu tidak digembar-gemburkan ketika ini sehingga pihaknya bersedia untuk membuka mulut.