Penyanyi dangdut Amelina yang terkenal suatu ketika dahulu, baru-baru ini mendedahkan bahawa beliau telah membuat tiga kali solat istikharah sebelum memutuskan untuk kembali ke dunia hiburan. Amelina atau nama sebenarnya, Nurazlina Amir Sharifuddin, 40, berkata, beliau yakin kemunculan semulanya kini di industri seni tanah air selepas 15 tahun menghilangkan diri adalah tepat.
“Saya sudah lama memikirkan untuk kembali semula sebagai penyanyi namun banyak perkara yang saya fikirkan membantutkan usaha itu. Sehingga saya buat tiga kali solat istikharah, barulah saya dapat jalan dan keyakinan untuk teruskan niat ini pada masa yang sangat sesuai.”
Amelina ditemui pada satu sidang media kemunculan semulanya yang diadakan di Di Nartwork Studio. Penyanyi yang popular pada zaman 90-an menerusi lagu Rindu ini memberitahu keputusan itu disokong oleh ibu dan juga enam orang anaknya.
“Saya akan tampil dengan gaya baru yang tidak terlalu seksi kerana perlu menjaga maruah anak-anak yang semakin membesar serta ibu. Lagi pula saya dikenali tanpa tarian seksi atau gelek, jadi tiada masalah tentang tarian kerana orang hanya ingin dengan lagu dan suara saya sahaja.”
Selain itu, Amelina juga berkata, beliau kini masih dalam proses mencari masa yang sesuai untuk proses rakaman bersama komposer Ajai dalam masa terdekat. Katanya, single terbaru itu bakal dikeluarkan pada pertengahan Disember nanti.
“Kami masih dalam perbincangan tentang lagu dan proses untuk masuk studio untuk rakaman. Saya memang agak gementar sebab sudah lama tidak masuk studio merakam lagu. Saya yakin Ajai dapat memberikan yang terbaik sesuai dengan peredaran lagu masa kini,” ujarnya. Sumber: mStar Online
Sumber: Budiey.com