Masih ingat dengan program ‘I Want To Touch A Dog’ yang pernah menjadi kontroversi hangat satu ketika dulu? Penganjur program itu, Syed Azmi Alhabshi, yang sebelum ini pun memang rajin menganjurkan pelbagai aktiviti kemasyarakatan kini mengajak rakyat Malaysia untuk menyertai program dakwah jalanan yang bakal dianjurkan oleh kumpulan kebajikannya iaitu kumpulan #tamakpahala.
Aktiviti dakwah jalanan yang dinamakan ‘Street Solat Isya’ ini merupakan salah satu program anjurannya dan ini bukan pertama kali dilakukan. Apa yang perlu ada bawa adalah : Sejadah, Telekung, pakaian solat sesuai, air untuk berwuduk dan ianya dibuka kepada semua umat Islam.
Bila?
Tarikh : 4 Disember 2014 ( Khamis )
Masa : 7.50 malam.
Tempat : BANK CIMB, Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.
Objektif
Objektif acara kecil ini adalah untuk mendekati mereka yang kehilangan tempat tinggal iaitu warga gelandangan. Mereka memilih untuk melakukan dakwah jalanan ini di kawasan tempat tinggal gelandangan yang kini menjadi ‘rumah’ untuk 400 insan yang kurang bernasib baik ini dan mereka mendapat bekalan makanan dari kumpulan ‘Soup Kitchen’.
Menurut Syed Azmi, beliau mengajak semua berganding bahu untuk meluangkan masa, usaha dan empati untuk bersatu dalam solat. Mana-mana ulama Islam atau kumpulan yang ingin menyertai amatlah dihargai.
Selain itu juga, terdapat kebimbangan yang disuarakan dan diantaranya adalah :
1. Tempat letak kenderaan. Terdapat tempat letak kereta di belakang bangunan sekitar itu. Jangan letak kenderaan anda di sebelah bank CIMB kerana ia mungkin mengganggu kumpulan ‘Soup Kitchen’ untuk meletak dan memunggah barang-barang mereka.
2. Kebersihan. Botol air perlu dibuang di tempat yang betul. Jaga kebersihan dan sila bertimbangrasa.
3. Mereka ( Syed Azmi ) bersetuju bahawa solat di masjid adalah lebih baik. Ini adalah satu dakwah untuk bercerita lebih lanjut mengenai kebaikan masjid dan keindahan Islam. Berdakwah itu ada banyak cara dan ini adalah salah satu usaha untuk mendekati golongan ini supaya lebih dekat dengan agama.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh ikuti hashtag #tamakpahala di semua media sosial ataupun ikut Facebook Syed Azmi.