Wah siapa sangka rekaan fesyennya kini dipakai oleh nama besar seperti Jennifer Lopez, Lada Gaga, Jessie J dan juga Taylor Swift. Empunya diri, Amir Kadir, 49, hanyalah bertebaran dalam industri fesyen tempatan sahaja namun kini, individu tersebut bisa menarik nafas lega apabila namanya kian dikenali di peringkat antarabangsa.
Kisahnya bermula apabila Amir mengambil keputusan berani untuk berhijrah ke luar negara bagi menimba pengalaman baru, lantas menutup operasi butiknya, Amir Kadir Design di Bukit Bintang. Memilih lokasi Kuwait sebagai destinasinya untuk melebarkan sayap, Amir dahulunya bukan calang-calang nama dalam industri kerana pernah menghasilkan rekaan buat Datuk Siti Nurhaliza, Allahyarhamah Datuk Syarifah Aini dan Ziana Zain.
“Saya membawa diri ke negara orang dengan harapan ingin berubah. Saya melihat pasaran dunia fesyen di Malaysia agak terhad kepada rekaan-rekaan tertentu sahaja. Sebab itulah saya membuat keputusan mengejutkan untuk mencari pengalaman baharu dan Alhamdulillah… atas usaha saya itu hasil rekaan saya mula dipandang pada peringkat antarabangsa,” jelasnya.
Impian beliau akhirnya tercapai apabila ciptaannya dipakai oleh penyanyi seksi, Jennifer Lopez ketika melakukan persembahan di MTV Music Video Awards di Los Angeles, Ogos lalu. Bukan itu sahaja, Taylor Swift dan Jessie J juga menyarungkan persalinan indah rekaannya pada November lalu ketika membuat persembahan di American Music Awards. Terbaru, menurut Amir, dia sedang menyiapkan busana buat penyanyi pop, Lady Gaga.
“Alhamdulillah… saya tidak menyangka busana rekaan saya menjadi pilihan bintang-bintang antarabangsa itu. Malah lebih membanggakan, mereka memakainya tanpa banyak rungutan,” katanya.
Moga nama Amir Kadir terus gah seperti pereka kasut tersohor, Jimmy Choo.
Sumber : mStar & mynewshub