‘Jejak Seni Mural’ Tarikan Terbaru di Ipoh

image
Dato’ Nolee Ashilin Mohammed Radzi (kanan) dan Harun Rawi meniru gaya karikatur mural selepas pelancaran Laluan Seni Mural di Jalan Masjid, Ipoh, semalam. – Utusan

Setelah program Jejak Warisan Ipoh dan Jejak Makanan Ipoh, orang ramai kini mempunyai lebih banyak pilihan destinasi untuk dilawati di bandar raya ini apabila terdapat tujuh lokasi mural yang menarik dilancarkan semalam. Program yang dikenali sebagai Jejak Seni Mural itu merupakan lukisan mural pada dinding bangunan lama sekitar bandar raya Ipoh yang merupakan idea kreatif pelukis dari Lithuania, Ernest Zacharevic dengan gabungan artis tempatan diketuai oleh Eric Lai.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Dato’ Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, lawatan untuk melihat tujuh lokasi mural tersebut di bandar raya ini akan memakan masa kira-kira dua jam.

“Bagi memudahkan pe­lan­cong serta peminat seni visual dan fotografi khususnya golongan muda, kita telah mengeluarkan brosur mengenainya yang disertakan bersama kedudukan koordinat. Selain itu, Balai Seni Visual Negara juga dalam perundingan untuk membuka cawangan pertamanya di sini. Sehubungan itu, kita berharap Ipoh bakal menjadi hab seni visual pada masa akan datang,”

“Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) kini turut memikirkan keperluan untuk meletakkan lampu jalan di sekitar kawasan mural tersebut bagi mengelakkan vandalisme kerana rata-ratanya terletak di lorong bangunan lama,” katanya.

IKLAN

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pelancaran Laluan Seni Mural di Jalan Masjid yang turut dihadiri oleh Datuk Bandar, Datuk Harun Rawi dan Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Sum Chang Keong, semalam.

Selain itu, Dato’ Nolee Ashilin turut memberitahu, bagi menarik lebih banyak kunjungan pelancong pada hujung minggu, pihaknya kini dalam proses memperkemas pakej pelancongan dengan penggunaan perkhidmatan tren elektrik (ETS) Kuala Lumpur-Ipoh.

Selain mengatur produk pelancongan berkluster bermula dari Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Ipoh ke Kinta Riverfront Walk, pihaknya juga bakal melancarkan laluan pelancongan Jejak Kafe dan Jejak Islamik bagi mempromosi keunikan enam buah masjid di bandar raya ini.

Sumber: Utusan

IKLAN

ARTIKEL BERKAITAN

HOT MINGGU INI