Alfatihah! Astro Awani melaporkan, hero lagenda filem Melayu, Datuk Mustapha Maarof meninggal dunia pada Isnin di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Wangsa Maju. Allahyarham yang berusia 79 tahun menghembuskan nafas terakhir pada pukul 8.40 pagi akibat komplikasi masalah paru-paru.
Jenazah akan disempurnakan di Masjid Bandar Baru Sentul dan dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Ampang bersebelahan pusara isterinya, Roseyatimah. Allahyarham sebelum ini dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan bergantung sepenuhnya dengan alat bantuan pernafasan.
Allahyarham dimasukkan ke Pusat Perubatan Respiratori, Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 25 November lalu kerana mengalami kesukaran bernafas sebelum dipindahkan menjalani rawatan di Wangsa Maju.
Isterinya, Allahyarham Roseyatimah telah terlebih dahulu pulang ke rahmatullah pada 14 Disember 1987. Seniman negara ini meninggalkan tiga anak, menantu dan tujuh cucu.