Semalam (Ahad), seorang lelaki warga Britain maut dan seorang guru wanita cedera parah apabila kereta yang mereka naiki terbabas di Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (SMART).
Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur DSP S. Markandan berkata dalam kejadian kira-kira 4.50 pagi itu, mereka dipercayai dalam perjalanan menghala ke ibu negara. Difahamkan, kereta yang dinaiki kedua-dua mangsa hilang kawalan lalu terbabas sebelum melanggar dinding terowong itu.
Beliau berkata warga Britain itu, Thomas George, 22, cedera parah dan maut di tempat kejadian manakala guru wanita berumur 25 tahun itu, yang memandu kereta berkenaan, cedera dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan.
Markandan berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kematian.
Bernama