Sejak sedekad yang lalu, penghuni wanita beberapa apartmen di sekitar bandar Yulin, Nanning, Guangxi musykil kerana mereka menghadapi masalah sama iaitu, kehilangan bra serta pakaian dalam.
Selama sedekad itu juga mereka tidak menyangka pakaian dalam itu sebenarnya disembunyikan tidak jauh dari kediaman masing-masing.
Longgokan itu disimpan di atas siling bilik tidur jiran mereka – seorang lelaki yang dikenali sebagai Tan. Rahsia Tan terbongkar baru-baru ini apabila siling berkenaan roboh, sekali gus menyebabkan lebih 2,000 pasang pakaian dalam wanita bertaburan di bilik berkenaan.
Media melaporkan, Tan menyelinap ke banyak apartmen di sekitar kediamannya untuk mencuri bra dan seluar dalam wanita.
Sumber polis berkata, Tan, 30-an, menggunakan kunci pendua untuk menjalankan kegiatan berkenaan ketika penghuni sesuatu unit keluar bekerja. Namun polis tidak menyatakan bagaimana Tan mendapatkan kunci pendua itu.
“Ketika disiasat, Tan mengaku bersalah dan mendakwa dia mengalami masalah psikologi.
“Namun Tan tidak pasti sejak bila dia mula kemaruk menyimpan pakaian dalam wanita,” katanya.
Sumber: Harian Metro