JAKARTA: Kementerian Perhubungan (Kemenhub) Indonesia hari ini mengesahkan bahawa serpihan pesawat berwarna putih dan merah yang ditemui di perairan Pangkalan Bun Kalimantan Tengah adalah daripada pesawat AirAsia QZ8501.
Maklumat tersebut adalah dapatan daripada pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang melihat serpihan tersebut secara langsung.
“Pasukan SAR kami, iaitu pesawat Kalibrasi Kementerian Perhubungan melihat adanya serpihan pesawat berwarna putih dan merah di perairan Pangkalan Bun,” ujar Ketua Pengarah Penerbangan Awam Indonesia, Djoko Murjatmodjo di Jakarta hari ini.
Beliau menjelaskan, penemuan serpihan pesawat tersebut berada di koordinat 03.52,50 Selatan dan 110.30,53 Timur.
Serpihan kedua, 03.52,73 Selatan dan 110.30,18 Timur.
Ketiga, 03.53,62 Selatan dan 110.29,39 Timur di perairan Pangkalan Bun.
“Kedudukannya di sekitar 100 batu dari pelabuhan Pengkalan Bun iaitu radius 225 darjah. Maklumat ini sudah diselaras pihak Badan SAR Nasional (Basarnas) dan Tentera Nasional Indonesia (TNI).
Buat masa ini, boleh disahkan bahawa serpihan itu adalah daripada pesawat AirAsia yang hilang dan ketika ini Menteri Pengangkutan telah berangkat ke Pangkalan Bun,” kata Djoko.
Selain daripada itu, Pembantu juruterbang Hercules C130 Indonesia mendakwa melihat objek seperti mayat manusia terapung di Selat Karimata di mana objek lain seperti pelampung dan serpihan pesawat dijumpai.
Leftenan Satu Tri Wibowo berkata, pada awalnya beliau melihat objek berkenaan seperti manusia yang sedang melambai-lambai ke arah pesawat, namun selepas didekati ia menyerupai jasad manusia yang sudah membengkak.
“Pada awalnya saya lihat seperti manusia melambai-lambai, mungkin dia menyedari kehadiran pesawat. Tetapi selepas kami dekati, nampak ia sudah membengkak. Ia kelihatan melambai-lambai mungkin kerana dipukul ombak,” kata Tri di sini, sebentar tadi.
Terkini : Sebuah kapal perang Indonesia telah mengeluarkan lebih 40 mayat dari dalam usaha mencari pesawat AirAsia QZ 8501. Jurucakap tentera laut, Manahan Simorangkir berkata angka ini sedang meningkat.
“Berdasarkan kepada radio tentera laut, dilaporkan bahawa kapal perang Bung Tomo telah membawa keluar 40 mayat dan jumlah itu semakin meningkat. Mereka sangat sibuk sekarang, ” kata Simorangkir .
Berita lanjut bakal menyusul.