Siapa sini pernah cuba murtabak cheese JDT? JDT? Bagi penggemar murtabak, anda boleh ke Murtabak Majid Special No 1 Corner di Kampung Kurnia kerana pelbagai menu murtabak yang disediakan bakal membuatkan anda menjilat jari.
Beroperasi setiap hari bermula jam 12 tengah hari sehingga 6 petang, Murtabak Majid Special No 1 Corner sentiasa dikunjungi orang ramai tanpa mengira masa.
Menyajikan menu murtabak istimewa seperti jumbo cheese cake dan jumbo cheese kambing, selain menu daging, ayam dan kambing tradisional menjadikan Murtabak Majid Special No 1 Corner dikunjungi ramai pelanggan luar daripada Johor.
Pengusahanya, Muhamad Najib Mustaffa, 41, berkata, perniagaan murtabak itu sebenarnya diwarisi daripada bapa saudaranya yang mengusahakan perniagaan itu sejak lebih 40 tahun lalu.
Bagaimanapun menurutnya, menu murtabak cheese yang merupakan resipi hasil kreativitinya tidak disangka menjadi kegemaran ramai sehingga membuatkan Murtabak Majid Special No 1 Corner semakin dikenali.
“Alhamdulillah, murtabak cheese hasil kreativiti saya menjadi kegemaran ramai sehingga ada yang sanggup datang dari Kuala Lumpur, Terengganu, Perak dan Singapura semata-mata untuk menikmati murtabak yang dianggap istimewa ini,” katanya.
Menawarkan harga paling minima RM6 untuk murtabak daging tradisional biasa, Murtabak Majid Special No 1 Corner turut menawarkan harga tertinggi RM28 untuk murtabak jumbo cheese kambing yang boleh dihidangkan untuk tiga keempat orang.
Ingin merasai keenakan murtabak cheese ini? Sila ke dua cawangan Murtabak Majid Special No 1 Corner di Larkin Perdana dan Jalan Cenderawasih Larkin Jaya.
Sumber Sinar Harian