Pejabat sebuah surat khabar Jerman, Hamburger Morgenpost yang mencetak semula kartun menyindir Nabi Muhammad yang disiarkan majalah satira, Charlie Hebdo pada muka depannya diserang, pada awal pagi Ahad. Namun, tiada sebarang kecederaan atau kematian dilaporkan.
“Batu dan satu objek terbakar dibaling melalui tingkap. Dua bilik di tingkat bawah musnah, namun api berjaya dipadamkan dengan cepat,” kata seorang jurucakap polis kepada AFP.
Susulan itu, dua ditahan dan polis telah membuka siasatan terhadap serangan itu.
Menurut jurucakap polis itu, buat masa ini, terlalu awal untuk menentukan jika serangan itu ada kaitan dengan kartun Charlie Hebdo.
Agensi berita Jerman, DPA melaporkan, serangan yang dilakukan dari halaman bangunan itu, terkena bilik arkib tabloid berkenaan, menyebabkan sebahagian simpanan dokumennya musnah.
Beberapa akhbar Jerman menyiarkan kartun menyindir Nabi Muhammad di muka depannya, pada Khamis lalu, sebagai tanda solidariti terhadap kartunis Perancis dan memperjuangkan kebebasan bersuara.
Sebuah akhbar Jerman, Bild am Sonntag pada Ahad melaporkan, komunikasi antara pemimpin Negara Islam (IS) yang dipintas perisik Amerika Syarikat mencadangkan, pertumpahan darah dan keganasan yang berlaku di Perancis sejak Rabu lalu, boleh menjadi petanda kepada permulaan satu siri serangan di Eropah.
Sumber: The Rakyat Post