Kata teguran daripada Felixia Yeap atau nama Islamnya, Raisyyah Rania mendapat perkongsian ramai di Facebook dan rata-ratanya bersetuju dengan kenyataan beliau mengenai kes gadis Melayu berpelukan bersama bintang K-Pop (baca: https://diva.my/gambar-gadis-berhijab-dicium-dipeluk-artis-kpop/).
Felixia menerusi akaun Facebooknya berkata, ketika beliau masih belum memeluk Islam dan berimej seksi lagi, beliau sememangnya tidak suka disentuh oleh lelaki.
“Saya memang tidak suka disentuh dan dipeluk biarpun hanya bergambar untuk kenangan. Kalau ada tangan yang sempat ‘menjalar’ di bahu, saya tepis dengan segera.
“Kadang-kala, saya menegur mereka dengan nada tegas supaya tidak menyentuh saya. Oleh itu, saya tidak faham mengapa ada adik yang bertudung terlalu teruja sampai memeluk artis K-Pop berkenaan,” katanya.
Menurut Felixia lagi, beliau beranggapan bintang K-Pop tersebut tidak bersalah kerana mereka tidak mengetahui dan memahami agama dan budaya orang Malaysia.
Felixia juga meluahkan kekecewaanya apabila melihat gadis yang berhijab lengkap sangat teruja apabila dipeluk artis K-pop sehingga menjatuhkan maruah wanita berhijab yang lain.
“Kalau sudah beri, memang la artis K-Pop itu terima dengan hati dan tangan terbuka sahaja. Kan bagus jika mereka kata ‘tidak’ kepada bintang K-Pop berkenaan di atas pentas apabila dipeluk.
“Jika berbuat sebegitu, terus menjadi dakwah. Masha-Allah! Renung-renungkanlah. Orang bukan Islam pun ramai yang tidak membenarkan diri mereka disentuh lelaki,” ujarnya.
Felixia menasihati gadis-gadis berkenaan untuk sentiasa ingat bahawa mereka istimewa dan menjadikan tudung mereka sebagai peringatan setiap hari supaya tidak mudah disentuh oleh lelaki.
Beliau juga mengingatkan semua supaya berhenti mengata yang buruk terhadap gadis berkenaan kerana setiap orang pernah melakukan kesilapan dan akan belajar daripadanya.
“Saya dahulu pun pernah melakukan banyak silap. Saya tidak alim. Lebih baik kita doakan mereka sedar dengan apa yang sudah mereka lakukan kerana Allah itu Maha Pengampun,” katanya.
Sumber: The Rakyat Post & Facebook