Hari ini, Wanista ingin kongsikan info berguna khusus buat semua pasangan suami isteri mengenai perancangan keluarga. Perancangan keluarga melibatkan keputusan yang dibuat bersama untuk mengawal jumlah anak, jarak masa untuk mendapatkan anak yang seterusnya dan menghentikan peluang mendapatkan anak.
Kebaikan Perancangan Keluarga
*Menjaga kesihatan wanita
Penting untuk wanita berusia bawah 18 tahun kerana mereka berkemungkinan melahirkan bayi kurang berat atau susah melahirkan anak kerana tulang pelvis yang belum cukup matang.
Wanita berusia 35 tahun keatas berisiko melahirkan bayi yang kurang sempurna.
Ibu yang melahirkan anak 5 kali berturut tanpa jarak minimun 2 tahun berisiko mengalami pendarahan, kurang darah dan darah tinggi. Hal ini boleh menyebabkan kematian kepada si ibu dan anak.
*Mengelakkan penyebaran HIV/AIDS
Wanita yang mempunyai HIV berisiko mempunyai anak yang turut mengalami hal yang sama. Jadi, perancangan keluarga dapat mengelakkan kandungan yang tidak elok.
*Meningkatkan kualiti hidup
Dengan merancang keluarga, wanita mempunyai masa untuk meningkatkan kualiti kerja mahupun diri sendiri. Selain itu, ia dapat memastikan setiap anak yang lahir berpeluang mendapatkan perhatian secukupnya dan melalui tumbesaran yang baik. Kaedah ini juga membantu mereka mempunyai anak mengikut tahap kemampuan ekonomi keluarga.
Perancangan Keluarga Menurut Pandangan Islam
Anak merupakan anugerah daripada Tuhan, justeru adalah salah dengan sengaja menyekat kelahiran cahaya mata. Namun, ia dibolehkan jika memberikan kesan negatif kepada ibu, anak dan juga keluarga. Kesemua kaedah yang bakal kami senaraikan boleh dilakukan, tetapi bukanlah kaedah kekal, melainkan ia memberi mudarat kepada si ibu.
Kaedah Merancang
1) Semulajadi
- Melakukan ejakulasi di luar faraj.
- Mengenal pasti masa subur wanita dengan mengelakkan persetubuhan ketika ovulasi, iaitu 14 hari sebelum datang haid. Masa subur boleh diketahui berdasarkan kalendar berdasarkan kitaran haid selama 6 bulan. Ketika ini, lendiran faraj ketika ovulasi menjadi cair dan memudahkan kemasukan sperma.
- Penyusuan susu ibu dalam jangka masa panjang kerana ovulasi tidak berlaku kepada wanita yang menyusukan bayi mereka.
2) Bantuan halangan
- Kondom.
- Alat dalam rahim (IUD).
- Diafgram: Liang lapik rahim yang menutup pintu masuk rahim.
- Servical cap.
3) Hormon
- Terdiri daripada pil, suntikan ataupun implan yang meghalang ovulasi dimana ia menyebabkan lendiran faraj menjadi pekat dan ruang rahim tidak lagi sesuai untuk penempelan benih hasil cantuman sperma dan ovum.
4) Bahan kimia
- Spermisid yang datang dalam bentuk krim atau buih berupaya untuk membunuh sperma yang masuk ke dalam faraj.
5) Pembedahan kekal
- Vasektomi: Saluran yang membawa sperma diikat supaya air mani yang terhasil tidak mengandungi sperma.
- Bilateral Tubal Ligation: Tiub fallopian diikat agar ovum tidak dapat melalui tiub ini.
Untuk mendapatkan kepastian lanjut mengenai hal ini, anda dinasihatkan agar berjumpa dan berbincang dengan doktor pakar sakit puan.
Sumber: Majalah EH, Edisi Jun 2014