Diserbu MPPP, Apa Nasib Restoran 
Nasi Kandar Line Clear Selepas Ini?

line clear
Salah seorang waris Restoran Nasi Kandar Line Clear, Akbar Ali Abdul Ghaffoor menunjukkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan penguat kuasa Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) merampas sebahagian peralatan perniagaan restoran tersebut di Jalan Penang, Pulau Pinang, semalam – UTUSAN/AZMAN ASMAYATIM

Para pekerja restoran popular Nasi Kandar Line Clear di Jalan Penang di sini hanya dapat melihat tindakan penguat kuasa Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) memunggah peralatan di restoran tersebut awal pagi tadi tanpa mampu berbuat apa-apa.

Dalam operasi bermula pukul 3 pagi itu, kira-kira 40 penguat kuasa MPPP bertindak merampas meja, kerusi dan tempat membancuh minuman di restoran tersebut ketika beberapa pelanggan sedang menikmati makanan.

Menurut pengusaha restoran itu, Hashim Abdul Hamid, beliau terkejut dengan tindakan MPPP tersebut memandangkan tidak diberi notis awal untuk mengosongkan restoran tersebut.

“Segala-galanya berlaku dengan pantas dan pekerja saya tidak sempat menghalang tindakan penguat kuasa MPPP berkenaan memandangkan mereka juga datang dalam bilangan yang ramai.”

“Kesemua kerusi, meja dan tempat menyediakan minuman dirampas MPPP melainkan beberapa kerusi dan meja yang sedang digunakan pelanggan ketika operasi berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tidak berpuas hati dengan tindakan MPPP itu, Hashim membuat laporan polis di Balai Polis Daerah Timur Laut di sini hari ini.

Sementara itu, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dengan jelas menunjukkan para penguat kuasa bertindak merampas peralatan di restoran tersebut dan memunggahnya ke dalam sebuah trak.

Tindakan MPPP itu mencetuskan persoalan memandangkan sebelum ini kemelut perebutan restoran popular tersebut dikatakan sudah selesai selepas semua pihak terlibat mencapai kata sepakat.

Menerusi kesepakatan tersebut, pengurus restoran itu sekarang, Abdul Hamid SN Seeni Pakir dikatakan bersetuju menamatkan perniagaannya pada 31 Disember lalu bagi memberi laluan kepada salah seorang daripada tiga pihak lain yang turut menuntut pengurusan restoran berkenaan.

Persetujuan itu bagi merungkai kemelut perebutan antara empat pihak terhadap pengurusan restoran popular berkenaan yang sudah berlarutan sejak 2010.

Selain Abdul Hamid, tiga pihak lain yang menuntut pengurusan restoran itu ialah Sahubarali China Mohd. Hanibah; Abdul Latiff Thulkarunai dan Pathumah Iskandar. Ketiga-tiga mereka sebelum ini mendakwa bersetuju memberikan peluang kepada Abdul Hamid menjalankan perniagaan pada 2008 hingga 2010 namun sehingga hari ini Abdul Hamid tidak menyerahkan tapak berkenaan kepada mereka yang lain. Kesal dengan tindakan itu, mereka membuat aduan kepada MPPP dan mahu menuntut semula untuk menguruskan restoran berkenaan secara penggiliran.

Restoran Nasi Kandar Line Clear yang terletak di persimpangan Lebuh Chulia dan Jalan Penang di sini dibuka sejak 1930 dan diwarisi oleh ahli keluarga Seeni Pakir Ravatar sehingga kini.

Restoran itu sebelum ini dikenali sebagai Kedai Kopi Seeni namun mula menggunakan jolokan Line Clear sejak 1992.

Dalam pada itu, Bahagian Perhubungan Awam, Jabatan Korporat MPPP dalam kenyataan di sini memaklumkan, tindakan ke atas perniagaan restoran Nasi Kandar Line Clear itu diambil kerana pengusahanya menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen bagi 2015.

“Tindakan penguatkuasaan ini selaras dengan peruntukan Undang-Undang Kecil Penjaja 1979. MPPP telah mengeluarkan lesen kepada pengusaha baharu mengikut keputusan yang dibuat oleh MPPP pada 8 Oktober 2014,” demikian menurut kenyataan itu.

Pemilik, Abdul Hamid Seeni Pakir menunjukkan keadaan restoran yang kosong kerana diangkut oleh pihak MPPP - The Rakyat Post.
Pemilik, Abdul Hamid Seeni Pakir menunjukkan keadaan restoran yang kosong kerana diangkut oleh pihak MPPP – The Rakyat Post.

Sumber: Utusan Online & The Rakyat Post

Related Posts