Pihak Kementerian Kesihatan memaklumkan, setakat ini sebanyak 126 orang telah disahkan menghidap penyakit leptospirosis atau kencing tikus di negeri-negeri yang terjejas banjir. Bagaimanapun, peningkatan kes ini berada di tahap membimbangkan apabila 753 kes lagi, dilaporkan turut melibatkan jangkitan penyakit berbahaya ini. Dua daripada mangsa, dilaporkan adalah sukarelawan yang membantu mangsa banjir di kawasan terjejas bencana alam itu.
Memetik laporan The Rakyat Post, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata, walaupun tiada kes kematian dilaporkan akibat wabak itu, jumlah peningkatan kes berkenaan amat membimbangkan.
“Kelantan mencatatkan jumlah kes tertinggi di mana sebanyak 538 kes dilaporkan dengan 62 orang disahkan. Ini diikuti Terengganu dengan 28 orang disahkan dijangkiti kencing tikus, Perak 22 dan Pahang 14 orang,” katanya.
Menurut beliau, pihak kementerian telah mengambil langkah persediaan terhadap penyakit berjangkit ini namun permasalahan muncul apabila mangsa banjir di pusat pemindahan pulang ke rumah masing-masing.
Susulan itu Subramaniam menasihati mangsa banjir agar memakai peralatan keselamatan seperti topeng muka dan kasut ketika menjalankan kerja pembersihan bagi mengelakkan virus yang tidak diingini.
“Wabak ini boleh merebak ketika mangsa banjir membersihkan kediaman di rumah yang berlumpur dan persekitarannya. Ini sebabnya penting untuk memakai peralatan keselamatan seperti topeng muka dan kasut ketika menjalankan kerja pembersihan,” katanya.
Selain itu, mangsa banjir juga dinasihatkan agar mengamalkan kebersihan terutamanya dalam penyediaan makanan dan minuman.
Diharapkan, mangsa banjir mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelak daripada dijangkiti penyakit berbahaya ini. – MYNEWSHUB
Baca: https://diva.my/kencing-tikus-apa-faktor-tanda-rawatan-langkah-pencegahan/