Petua Siku dan Lutut Cantik
Majoriti dalam kalangan kita berhadapan dengan masalah siku dan lutut kehitam-hitaman dan kasar. Petua yang mudah diikuti bagi mencantikkannya semula adalah dengan memarut buah nanas segar yang telah dicuci bersih. Setelah mendapat kuantiti yang mencukupi, sapukan ia pada siku dan juga lutut. Gosok bahagian berkenaan perlahan-lahan dan biarkan selama beberapa minit agar zat semula jadinya dapat memberikan kesan yang baik. Selepas itu bilas dengan air suam sehingga hilang rasa melekit. Keringkan dengan tuala bersih dan jangan lupa untuk menyapukan minyak bayi atau pun pelembap. Petua ini boleh diamalkan sekerap mungkin dan selamat menikmati hasilnya!
Petua Atasi Jeragat
Semakin meningkat usia, semakin banyak jeragat akan kelihatan dan ia memang menggusarkan sesiapa sahaja terutamanya kaum perempuan. Selain rawatan di pusat kecantikan, anda juga boleh mencuba petua turun- temurun ini. Sediakan dua inci daun betik muda, segenggam beras, air dan satu inci kulit kayu manis. Terlebih dahulu, beras perlulah direndam semalaman. Keesokannya, kisar beras itu bersama-sama daun betik serta kulit kayu manis. Setelah siap, sapu atau gosok perlahan-lahan pada seluruh wajah. Biarkan ia kering dalam 20 minit sebelum boleh dibilas dengan air suam. Semoga petua ini dapat membantu mengurangkan tompok-tompok hitam sekali gus menyerlahkan kecantikan semula jadi.
Petua Anti Kedut
Pisang kaya dengan potasium yang baik untuk kesihatan. Selain sedap dimakan, pisang juga dapat membantu mengurangkan kedutan pada wajah akibat penuaan. Caranya adalah dengan memotong pisang dengan saiz kecil dan kemudian dikisar sehingga halus. Selepas itu, sapukan krim pisang itu pada wajah dan biarkan selama 10 minit sehingga 15 minit. Seterusnya, bilas dengan air suam dan sekali lagi dengan air bersih. Masker pisang ini seelok-eloknya dilakukan sekali dalam seminggu bagi merasai perbezaannya. Petua ini begitu diamalkan dan selamat mencuba!
Sumber: http://anizyn.blogspot.com/