Para pengunjung Taman Burung Jurong kini boleh menyaksikan beberapa spesis burung yang paling eksotik dan jarang ditemui di Asia dengan pembukaan Taman Burung Wings of Asia pada hari ini.
Dengan koleksi lebih 500 ekor burung yang mewakili 135 spesis apabila siap pembinaannya, rumah burung yang telah disuntik nafas baru itu akan menempatkan kepelbagaian burung paling besar di dalam Taman Burung Jurong.
Taman Wings of Asia bakal menjadi rumah kepada salah satu koleksi burung Asia yang paling komprehensif dan dikagumi di dunia yang sebahagian berasal dari Malaysia termasuklah spesis-spesis terancam seperti burung tiung Bali, merpati Luzon bleeding-heart dan burung perling bersayap hitam. Spesis-spesis burung tersebut telah berjaya ditetas dan dibesarkan sebagai sebahagian daripada program pemuliharaan dan pembiakan yang dilakukan secara berterusan oleh pihak taman ini.
Sebelas daripada 24 spesis yang terancam adalah penambahan baharu, dengan lima daripadanya dipamerkan buat pertama kalinya di taman itu. Ini termasuklah burung murai hijau Jawa, burung rufous-fronted laughingthrush dan burung kakak tua yang mempunyai ekor seperti raket (racquet-tailed parrot) yang akan tiba di taman itu tidak lama lagi.
Banyak langkah telah dirancang untuk memulakan program pembiakan burung-burung ini yang jumlahnya semakin berkurangan dengan pantas berikutan ketiadaan habitat, penurunan serta penangkapan untuk perdagangan burung sangkar. Melalui program pemuliharaan dan pembiakan ini, pihak pengendali taman berharap dapat mengekalkan serta menjaga jumlah populasi burung-burung terbabit. Beberapa spesis burung ini akhirnya akan dilepaskan semula di tempat asal mereka.
Dikenali sebelum ini sebagai Taman Burung Asia Tenggara, tapak pameran seluas 2,600 meter persegi itu telah menjalani proses naik taraf selama tiga bulan. Ia melibatkan peluasan kawasan sedia ada, kerja-kerja tema, menambah baik pameran-pameran pendidikan untuk membolehkan pengunjung mempelajari tentang spesis burung yang berbeza, dan menukar jaring bagi menawarkan pengalaman melihat burung yang lebih menarik.
Para pengunjung juga boleh menikmati pelbagai pengalaman istimewa seperti memberi makan kepada burung dan berkomunikasi di samping bertanya soalan pada penjaga burung untuk mengetahui lebih infomasi mengenai haiwan yang terdapat di Taman Wings of Asia.