Waris kepada seorang penumpang MH370 yang enggan dikenali menyatakan kekecewaan kerana sidang media berhubung pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 yang hilang lebih 10 bulan yang lalu dibatalkan tanpa sebarang alasan yang munasabah.
Bagaimanapun jelasnya, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) seharusnya memaklumkan secara peribadi kepada keluarga waris sebelum membuat keputusan untuk mengadakan sidang media berkenaan.
Ujarnya, situasi itu turut disifatkan ‘jenaka’ DCA yang tidak harus dilakukan pada saat semua waris menanti-nanti khabar terkini berkenaan pesawat malang berkenaan.
“Tidak tahu hendak cakap apa lagi. Sepatutnya maklum secara peribadi kepada keluarga baru adakan sidang media.“
“What a joke (Jenaka apakah ini?),” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Panggilan sidang media tergempar yang dijadual diadakan di Putrajaya itu dimaklumkan kepada media melalui satu e-mel yang dikirimkan pada pagi Khamis.
Pada masa yang sama, Jacquita Gonzales, isteri kepada penyelia pesawat Patrick Francis Gomes, menzahirkan rasa kecewanya.
“Daripada anggota keluarga kru kabin, ini sekali lagi suatu roller-coaster (emosi). Apa sahaja yang anda hendak umumkan, tolonglah berikan kami ketenangan. Beritahu kami, jangan berdolak-dalik,” luahnya.
Jacquita juga memberitahu, pengumuman deklarasi kehilangan tidak akan mengubah apa-apa walaupun dari sudut lain dapat membantu keluarga mangsa khususnya mengenai tuntutan insurans.
Namun sebelum itu, dia mahu dijelaskan tentang maksud ‘hilang’.
“Jelaskan pada saya maksud ‘hilang’, barulah tanya apa perasaan saya. Saya pasti suami saya mahu pulang. Sesiapa sahaja yang tersasar arah mahu pulang.” katanya sebak.
Dalam perkembangan terkini, Bernama memetik bahawa Ketua Pengarah DCA bakal mengeluarkan kenyataan mengenai MH370 pada jam 6 petang ini.
Sumber: Astro Awani