Terkini, filem adaptasi novel terkenal, ‘Fifty Shades of Grey’ tidak akan ditayangkan di pawagam Malaysia kerana mengandungi elemen-elemen erotika.
Pengedar filem itu di Malaysia, United International Pictures (UIP), pada awalnya berkata filem itu akan ditayangkan pada 12 Februari ini. Namun menurut laman web cinema.com.my, pihak UIP mengesahkan filem berkenaan tidak akan ditayangkan di negara ini.
Pengerusi Lembaga Penapisan Filem (LPF), Datuk Abdul Halim Abdul Hamid berkata, ia sekali gus diharamkan untuk ditayangkan di negara ini kerana sudah termasuk di dalam klasifikasi filem lucah.
“Ada adegan yang menunjukkan wanita itu diikat di tiang katil dan pasangannya memukul dengan cemeti. Tiada alasan untuk kita membenarkan filem sebegini ditayangkan di negara kita, dan kita di LPF mengikut akta yang sudah termaktub di dalam undang-undang,” katanya.
Abdul Halim mengulas keputusan larangan penayangan filem Fifty Shades of Grey kerana mengandungi elemen-elemen erotik.
Di Amerika Syarikat, ia mendapat klasifikasi ‘R’ dimana mereka di bawah umur 18 tahun masih boleh menonton filem berkenaan dengan ditemani orang dewasa. Singapura pula masih menanti klasifikasi rasmi untuk filem itu.
Walaubagaimanapun, keputusan untuk mengharamkan tayangan filem itu di pawagam Malaysia telah dijangka oleh warga media sosial.
Astro Awani