Lancashire – Seorang lelaki berusia 37 tahun yang menyangka beliau menghidap kanser selepas mendapati air kencingnya mengandungi darah, terkejut apabila doktor memaklumkan bahawa beliau sebenarnya mempunyai rahim dan darah berkenaan adalah darah haid.
Ia didedahkan selepas lelaki itu yang juga seorang ahli perniagaan menjalani MRI kerana doktor pada mulanya menyangka beliau menghidap penyakit batu karang.
Selepas pemeriksaan, doktor tersebut amat terkejut kerana selain memiliki organ lelaki, lelaki itu juga mempunyai uterus, tiub fallopian dan ovari. Malah, beliau juga mampu mengandung!
“Saya mengalami simptom yang aneh sejak remaja tetapi doktor selama ini tidak mengetahui puncanya. Saya juga sering mengalami sakit perut,’’ katanya yang enggan didedahkan identiti.
Lelaki berkenaan kini bersiap sedia untuk menjalani pembedahan membuang rahim, namun doktor memberi amaran beliau bakal berdepan dengan proses menopause sebaik sahaja prosedur tersebut berakhir.
Sindrom ini dipercayai amat jarang ditemui dan ia biasanya dikesan ketika kanak-kanak atau ketika usia baliqh.
Selepas pembedahan itu, lelaki berkenaan juga akan menjalani imbasan genetik bagi mengetahui keseimbangan gender dalam badannya.
“Kemungkinan ujian itu akan menunjukkan sama ada saya lelaki atau wanita namun saya kini menjalani hidup sebagai lelaki sepenuhnya. Jika ujian itu menunjukkan saya wanita, saya masih akan meneruskan kehidupan sebagai lelaki,’’ katanya.