Tahun baru datang lagi dan kebanyakan daripada kita mula memikirkan azam untuk menjadikan 2015 tahun yang lebih baik dan hebat. Walaupun membuat janji yang hebat sememangnya menarik, kita harus juga beringat bahawa azam yang dibuat perlulah realistik dan boleh dicapai.
Memang terdapat banyak cara bagaimana kita boleh menambah baik diri dan kehidupan, tetapi antara yang paling penting semestinya pengurusan wang. Sama ada anda mahu menyimpannya, menambahnya atau menggunakannya secara lebih berhemah, wang ringgit amat penting dalam kehidupan harian kita dan ia patut menjadi sebahagian daripada senarai azam anda. Mungkin kedengaran agak menakutkan dan kurang seronok berbanding azam untuk pergi melancong dengan lebih kerap, tetapi jangan bimbang, kami faham dan kami ada cara untuk membantu.
Cuba pertimbangakan senarai azam mengenai wang yang RinggitPlus.com syorkan supaya anda boleh menyimpan wang dengan lebih banyak dan berjaya mencapai azam sepanjang tahun.
Dapatkan Buku 555 ‘Ah Long’
Tahun ini, apa kata kita amalkan cara retro dengan buku 555 yang pernah kita gunakan untuk mencatat 80 sen yang kawan anda hutang ketika membeli ais krim potong. Anda mungkin berasa teknik ini amat lazim dan kurang kreatif, tetapi mengawal perbelanjaan adalah langkah kecil ke arah kejayaan yang lebih besar apabila menyentuh tentang bajet. Sudah tiba masanya untuk berhenti membuat pengiraan dalam otak sahaja. Catat segala perbelanjaan anda (ya, walaupun jumlah yang kecil!). Ini bagi memastikan anda tidak terlebih berbelanja walaupaun secara tidak sengaja.
Apabila anda mengetahui jumlah wang yang keluar dari poket dan baki yang ada di dalam akaun bank dengan tepat, anda akan dapat mengawal perbelanjaan serta tahu berapa banyak wang yang boleh disimpan. Sudah tentu anda tidak perlu membawa buku nota yang sebenar – telefon pintar anda penuh dengan pelbagai aplikasi berguna untuk menjejak segala perbelanjaan anda!
Bagaimana untuk memastikan ia dapat dilaksanakan: Mengawasi perbelanjaan boleh menjadi satu kerja harian yang membosankan, jadi anda perlu menjadikannya sebagai satu tabiat. Mulakan dengan membuat catatan sekali sehari, setiap malam sebelum tidur sehinggalah ia menjadi satu tabiat. Beberapa hari pertama mungkin paling sukar jadi pastikan anda tidak mengalah. Sedikit ganjaran untuk mengekalkan tabiat ini mungkin boleh membantu.
Jadikan Semuanya Tertumpu kepada BAJET
Kita bukan maksudkan apa yang diumumkan oleh Najib pada Oktober lalu. Kita semua ada membuat bajet, tetapi jarang sekali kita mengikutinya. Jika anda mampu mengikuti bajet yang ada sendiri rancang, anda sebenarnya berada di landasan yang betul untuk berjaya. Tidak cukup kalau sekadar membuat bajet yang nampak cantik di atas kertas – adalah lebih penting untuk melaksanakannya. Tetapi bagaimana? Pertamanya, bersikap realistik apabila mengira jumlah wang yang anda miliki/perolehi dan jadilah lebih realistik apabila menilai apa yang anda benar-benar perlu berbanding kemahuan anda. Beri keutamaan kepada perkara yang penting dan jadikan keinginan hati sebagai benda terakhir dalam pelan bajet anda – sesuatu yang boleh anda nikmati hanya selepas semua bil dibayar dan simpanan sudah dibuat.
Bagaimana untuk memastikan ia dapat dilaksanakan: Buat bajet yang realistik! Kegagalan biasanya berlaku apabila anda cuba untuk buat apa yang tidak mampu. Jangan tetapkan jumlah yang tidak realistik dan abaikan sepenuhnya perbelanjaan untuk aktiviti senggang kerana itulah cara paling pantas yang mengakibatkan bajet anda tidak menjadi.
Penuhkan Tabung
Masih ingat zaman kanak-kanak, ketika anda mendapat tabung sebagai hadiah? Memang seronok apabila anda dapat mengisi duit syiling ke dalamnya. Walaupun pada hari ini tabung itu sudah tiada dan apa yang ada merupakan akaun bank, namun konsepnya tetap sama. Semakin banyak wang anda simpan, semakin sedikit wang yang anda belanjakan. Anda juga dapat mengurangkan tekanan kewangan jika berlaku kecemasan.
Bagaimana untuk memastikan ia dapat dilaksanakan: Jadikan wang simpanan sebagai satu bil yang mesti anda bayar pada setiap bulan. Ini akan mewujudkan mentaliti bahawa anda tidak boleh mengabaikan bayaran ini. Apakah yang boleh membantu anda untuk membayar bil tepat pada masanya? Arahan bayaran! Jadikan simpanan suatu proses yang benar-benar automatik, jadi anda tidak boleh mengelak lagi!
Cuba dan Cuba Lagi
Secara idealnya, azam patut berakhir dengan kisah yang menggembirakan. Malangnya, ia bukan selalu begitu. Sekiranya anda gagal, jangan terlalu cepat untuk mengabaikan keseluruhan perancangan tersebut. Terlepas sebulan? Tidak mengapa, mulakan semula. Sebenarnya, kita semua masih menimba ilmu, jadi jangan terlalu menyalahkan diri sendiri jika pelan tidak mendatangkan hasil sebagaimana yang dirancangkan.
Bagaimana untuk memastikan ia dapat dilaksanakan: Jangan cepat mengalah! Jangan hilang semangat jika anda tidak berjaya melakukan apa yang sepatutnya dibuat.
Kami berharap anda akan mencuba salah satu azam berkaitan wang pada tahun ini demi kewangan yang lebih sihat. Selamat mencuba!