Rabu semalam, 3 pelajar Islam ditembak di kepala di sebuah apartmen berdekatan dengan sebuah universiti. Menurut CNN, pelajar dikenali sebagai Deah Shaddy Barakat, 23, Yusor Mohammad, 21, dan Razan Mohammad Abu-Salha, 19 tahun.
Deah merupakan pelajar tahun kedua di Universiti Carolina Utara. Yusor, isteri kepada Deah pula bakal meneruskan pengajian di universiti yang sama. Adik kepada Yusor, Razan juga belajar di universiti yang sama.
Berita ini tersebar dengan pantas menerusi laman sosial terutama di kalangan komuniti Muslim kerana mangsa dikatakan gemar melakukan kerja amal ketika hayatnya.
Disebabkan ketiga-tiga mangsa jelas mengamalkan Islam melalui pemakaian dan cara hidup, ramai melahirkan kebimbangan kejadian mempunyai kaitan dengan ‘jenayah benci’ hingga hashtag #muslimlivesmatter mulai trending di laman makro Twitter.
Kawasan Summerwalk Circle digambarkan sebagai satu lokasi senyap hinggalah tiba-tiba kedengaran bunyi tembakan pada jam 5.15 petang waktu tempatan, membuatkan pihak polis bergegas ke sana sejurus menerima laporan.
Craig Stephen Hicks, 46, dari Chapel Hill didakwa atas tiga tuduhan membunuh dan di tahan reman di penjara Durham County. Ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Polis masih menyiasat punca serangan tersebut.
Sumber – Sinar Harian & Mynewshub