Dunia sekarang selalu digemparkan dengan berita-berita mengejutkan dan menyedihkan seperti penculikan kanak-kanak, kes buli di sekolah, kes rogol, pembunuhan kejam, rompak, samun, ragut, serangan keatas orang yang tidak bersalah dan sebagainya. Saban hari ada sahaja kes-kes yang dilaporkan. Tanpa kita sedari, kita juga mungkin akan menjadi mangsa! Dalam kes-kes sebegini ibu bapa harus menggalakkan anak-anak sedari awal melibatkan diri dalam aktiviti seni bela diri samada di sekolah, persatuan dan sebagainya.
Seni bela diri harus dipelajari dan diserap dari usia yang masih muda kerana ianya adalah satu kesenian dan juga sebagai asas untuk mempertahankan diri dan bertindak balas didalam situasi yang terdesak . Sudah menjadi lumrah untuk setiap manusia sentiasa berwaspada untuk melindungi diri kita dengan keadaan sekeliling kerana “malang itu tidak berbau“. Walau dimana kita berada dan apa jua yang kita lakukan kita masih berisiko dan masih terdedah untuk berhadapan dengan sebarang kemungkinan yang bakal berlaku.
Ada pelbagai jenis seni bela diri seperti taekwondo, seni silat, aikido, karate, muay thai, kuntau, kungfu, jiu jitsu, tinju, tomoi dan pelbagai jenis lagi. Yang membezakannya hanyalah dari segi gerakan namun yang peling penting adalah anak-anak harus lebih berani, bersedia, yakin dan mampu melindungi diri dari sebarang serangan dan ancaman musuh.
Penulis juga amat berminat untuk berkongsi dengan pembaca tentang seni bela diri Taekwondo. Taekwondo adalah seni bela diri yang berasal dari Korea Selatan.
Tae : Kaki
Kwon : Pukulan dengan tangan / tinju
Do : sistem/cara/seni
Maksudnya taekwondo adalah seni bela diri yang menggunakan tangan dan kaki sebagai senjata untuk menakluki lawan.
Ada beberapa peringkat filosopi dalam taekwondo seperti:
Putih : melambangkan kesucian iaitu dasar permulaan
Kuning : melambangkan bumi iaitu dasar TKD (taekwondo) yang lebih kuat. Mempunyai asas 2 & 3.
Hijau : melambangkan hijaunya pepohonan iaitu dasar TKD mula dikembangkan (mula mempelajari taeguk).
Biru : melambangkan birunya langit yang menyelimuti bumi dan seisinya. Pada peringkat ini, kita harus mengetahui apa yang telah kita pelajari (taeguk 1-4).
Merah : melambangkan matahari iaitu kita mula menjadi pedoman pada orang lain dan kita harus beringat untuk mengawal setiap sikap dan tindakan kita. Mulai memberi ilmu dan bimbingan mula mempelajari taeguk 6
Hitam : melambangkan akhir, kedalaman, kematangan dalam penguasaan diri dari takut akan kegelapan. Hitam memliki semua teknik dari awal hingga akhir dan ianya juga melambangkan alam semesta.
Taekwondo selalu menekankan kepada teknik meringankan tubuh, kecepatan kaki, tendangan tendangan tipuan serta kombinasi dua atau tiga tendangan sekaligus dalam 1 serangan. Teakwondo juga dikenali sebagai ilmu bela diri pertama di dunia yang menemukan kombinasi tendangan putar 2 kali di udara dan diakhiri dengan tamparan diwajah musuh dengan kaki depan (Dollge).
Walau apapun jenis seni bela diri yang dipelajari, ternyata anak-anak perlu ada ilmu untuk merasakan diri mereka lebih berani, lebih bersedia dan mampu untuk berlawan dengan musuh dan anak-anak akan terlepas dari kejahatan orang-orang disekitarnya. Dengan ini penulis percaya bahawa seni bela diri amatlah digalakkan untuk semua lapisan masyarakat terutamanya anak-anak dan kaum wanita.
Bertindak sekarang atau kita akan menyesal selamanya…