Berada dalam pesawat juga terdapat beberapa tips keselamatan yang perlu anda peka. Antaranya adalah seperti berikut :-
1. Baca risalah keselamatan penerbangan yang diletakkan di setiap poket di tempat duduk penumpang dengan teliti. Prosedur keselamatan berbeza mengikut model pesawat, jadi jangan ambil ringan soal keselamatan ini.
2. Dengar dan lihat demonstrasi keselamatan yang diajar oleh anak kapal dengan jelas. Jika tidak dapat dengar atau tidak jelas, anda boleh bertanyakan sendiri dengan anak kapal selepas sesi demonstrasi.
3. Letakkan beg tangan di bahagian bawah tempat duduk penumpang di hadapan anda untuk mengelakkan ia bergerak menggelongsor ke arah kaki anda jika kapal terbang sedang menjunam semasa kecemasan.
4. Matikan atau aktifkan mod penerbangan segala alatan elektronik seperti telefon mudah alih, tablet, radio, komputer riba atau televisyen mudah alih ketika dalam pesawat kerana ia boleh mengganggu sistem komunikasi dalam pesawat.
5. Pastikan anda meneliti terlebih dahulu di mana letaknya pintu kecemasan kapal dan kira jarak antara tempat duduk anda dengan pintu tersebut untuk mudahkan anda bergerak pantas keluar dari pesawat sekiranya kecemasan berlaku.
6. Jika berlaku kebakaran atau kecemasan lain, topeng oksigen akan dikeluarkan. Pakai topeng oksigen ke atas diri anda terlebih dahulu, sebelum anda membantu orang lain atau penumpang di sebelah.
7. Merokok di dalam kapal terbang adalah dilarang sama sekali kerana ia boleh mengakibatkan sistem kebakaran diaktifkan dan punca kebakaran dalam pesawat.
8. Untuk keselesaan anda, gula-gula getah boleh membantu anda dalam mengurangkan tekanan udara di dalam telinga anda. Menelan air liur dan menguap juga boleh membantu melegakan ketidakselesaan dalam telinga.
9. Minum lebih banyak air. Disebabkan kelembapan dalam kabin yang terlalu rendah, ia boleh mengakibatkan dehidrasi dan mungkin kelesuan bagi sesetengah individu. Jika rasa mual, bersedia dengan beg khas untuk muntah yang disediakan di setiap poket penumpang.
10. Jika berlaku kebakaran, gunakan tisu atau napkin basah untuk menutup hidung anda dari asap dan membantu anda bernafas dengan lebih lancar.
Majalah EH