Terkini, tambang bas ekspres dan teksi akan dinaikkan bermula 1 April dengan teksi bajet di Lembah Klang akan mengenakan caj 25 sen untuk setiap 200 meter.
Menurut helaian fakta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), kadar untuk teksi bajet di seluruh negara tetap sama iaitu pada kadar RM3, tetapi kadar jarak dan masanya akan disemak semula. Bagi Teks1m, yang mana Proton Exora warna coklat digunakan, akan menyaksikan kadar baharu yang dinaikkan kepada RM4, dengan caj 30 sen akan dikenakan bagi setiap 200 meter.
Bagi bas ekspres akan memperlihatkan kenaikan tambang semasa daripada 9.3 sen setiap km kepada 11.4 sen per km. Menurut kertas fakta, ini bermakna satu tiket ke Ipoh dari KL akan berharga RM25.30 berbanding RM20.60 pada sebelumnya.
Bukan itu sahaja, KTM Berhad (KTM) mengumumkan kadar tambang baharu bagi perkhidmatan KTM Komuter dengan peningkatan sehingga RM7.10 berkuat kuasa 1 Mei.
Ia turut memaklumkan kadar baharu diskaun tiket sebanyak 20 peratus bagi pemegang tiket tambah nilai, diskaun antara 18 peratus hingga 26 peratus kepadapemegang pas mingguan serta diskaun 19 peratus hingga 35 peratus bagi pemegang pas bulanan, bergantung kepada jarak perjalanan.
Sementara itu pengguna warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan kanak-kanak berusia antara 4 hingga 12 tahun pula akan terus menikmati tambang konsesi pada kadar 50 peratus daripada tambang tunai yang baharu.
Kenaikan tambang dibuat selepas mengambil kira keperluan pihak pengusaha yang terbeban dengan kenaikan harga kos termasuk kos penyelenggaraan serta demi kepentingan orang ramai yang menggunakan perkhidmatan itu.
Struktur tambang baharu dijangka bertepatan dengan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
– mStar Online & Bernama