Terkini, pesawat Germanwings yang dilaporkan terlibat dalam nahas malam tadi ditemui terhempas di kawasan terpencil di Alps Perancis.
Kesemua 150 penumpang dan anak kapal disahkan terbunuh. Antara mangsa yang menaiki pesawat tersebut termasuk 16 remaja bersama dua guru mereka yang terlibat dalam program lawatan sekolah.
Pihak berkuasa penerbangan Perancis berkata mereka terputus hubungan dengan pesawat Germanwings itu pada jam 10.30 pagi (0930 GMT). Pesawat itu dilaporkan menjunam selama lapan minit tanpa komunikasi radio dari kokpit sebelum terhempas di sisi pergunungan.
Usaha pengawal trafik udara untuk menghubungi juruterbang sebelum itu tidak mendapat sebarang respon. Imej video dari helikopter menunjukkan tompokan salji di kawasan pergunungan tersebut dengan satu jurang curam diliputi serpihan daripada pesawat malang itu.
Seorang ahli Parlimen tempatan Christophe Castaner yang melihat kawasan kejadian berkata dalam Twitternya: “Satu pemandangan yang mengerikan di kawasan pergunungan ini. Tiada apa yang tinggal, hanya serpihan dan mayat manusia. Mengerikan – pesawat itu musnah.”
Menteri Luar Jerman Frank-Walter Steinmeier juga menyifatkan nahas tersebut satu “pemandangan ngeri.” Nahas melibatkan pesawat Airbus A320 kendalian syarikat penerbangan tambang murah Lufthansa di Jerman ini disifatkan paling dahsyat di Perancis dalam beberapa dekad.
Terdahulu, syarikat penerbangan itu telah mengesahkan kejadian tersebut melalui akaun Twitter rasminya dan memaklumkan bahawa talian khas buat keluarga dan waris penumpang dan kru telah disediakan.
Astro Awani