Satu dakwaan mengatakan minuman berkultur seperti Vitagen, Yakult, Solivite dan sebagainya boleh menyebabkan kanser. Hal ini kerana, terdapat satu kisah tragik heboh diperkatakan di media sosial apabila seorang individu menceritakan nasib malang yang menimpa anaknya kerana disahkan menghidapi penyakit kanser darah.
Walaubagaimanapun, menurut seorang pakar perubatan, Dr Zubaidi Ahmad, minuman berkultur sebenarnya selamat dan mampu merawat penyakit secara semula jadi tanpa sebarang ubat andai ia diambil individu sihat. Namun ujarnya, bagi sesetengah individu, ia tidak sesuai memandangkan minuman berkultur mengandungi bakteria aktif dan boleh memberikan kesan sampingan.
Memetik kenyataannya dari blog peribadi, drzubaidi.com, “Namun minuman seperti ini tidak sesuai bagi individu yang mempunyai sistem daya tahan yang lemah kerana kuman probiotik adalah kuman bakteria yang hidup, dikhuatiri akan berkembang dengan cepat pada individu yang mempunyai sistem daya tahan yang lemah.”
Tambah beliau lagi, antara pesakit yang tidak disarankan mengambil minuman tersebut adalah seperti berikut:
“Ini termasuk pesakit HIV/Aids, orang yang baru menerima derma organ dan mengambil ubat-ubatan untuk mencegah penolakan organ yang dipindahkan, pesakit diabetes, kanser dan yang sedang menerima rawatan untuk kanser, pesakit ginjal dan menjalani rawatan dialisis, pesakit autoimun seperti SLE, pesakit yang mendapat rawatan steroid dan pesakit yang telah menjalani pembedahan usus.”
Sumber dari mynewshub