Seorang lelaki terpaksa meminum air kencing sendiri untuk terus hidup, selepas beliau terperangkap di bawah runtuhan sebuah hotel, akibat gempa kuat berukuran 7.9 pada skala Richter yang melanda Nepal, Sabtu lalu.
Rishi Khanal, 27, berjaya diselamatkan anggota mencari dan menyelamat (SAR) dari Perancis, selepas 82 jam terperangkap di bawah runtuhan bangunan, akibat bencana yang menggegarkan Lembah Kathmandu serta negara jirannya, India, Bangladesh dan Tibet di China, pada hujung minggu lalu.
Ketika kejadian, lelaki itu sedang naik ke tingkat dua sebuah hotel di kawasan Gangabu, ibu negara Kathmandu, selepas selesai makan tengah hari. Namun, tiba-tiba, gegaran berlaku dan bangunan tiga tingkat itu mula ranap, menyebabkan kakinya dihempap bongkah batu.
“Mula-mula saya menaruh harapan untuk terus hidup, namun saya mula putus asa sejak semalam. Kuku saya sudah pucat dan bibir saya kering serta merekah.
“Saya pasti tidak ada orang akan selamatkan saya. Saya pasti saya akan mati,” kata lelaki itu yang terbaring di hospital, dengan dikelilingi ahli keluarganya, pada Rabu.
Mengimbau kembali keadaan ketika itu, Khanal menjelaskan, beliau dikelilingi mayat dan bau busuk, namun beliau tidak henti mengetuk serpihan batu dan runtuhan di tepinya, sehingga pasukan SAR Perancis menemuinya, selepas terperangkap di bawah runtuhan lebih tiga hari.
“Keadaan sunyi sepi. Saya terus ketuk serpihan batu dan akhirnya ada orang yang memberi respons dan bantu keluarkan saya.
“Saya tidak makan atau minum apa-apa, jadi saya terpaksa minum air kencing sendiri,” katanya yang bersyukur sempat diselamatkan pasukan SAR Perancis.
Namun, tidak jelas jika beliau adalah pekerja atau pelanggan hotel berkenaan.
Angka korban akibat gempa terburuk di Nepal, sejak 81 tahun lalu itu telah meragut lebih 5,000 nyawa, dengan lebih 10,000 lagi cedera di Nepal sahaja.
Menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, seramai 8.1 juta orang terjejas, iaitu lebih satu perempat daripada keseluruhan 27.8 juta populasi Nepal, dengan 1.4 juta lagi memerlukan bantuan makanan. Bantuan kemanusiaan dan pakar-pakar asing tidak henti mendarat di satu-satunya lapangan terbang antarabangsa di Kathmandu yang hanya dilengkapi sebuah landasan kecil.
Sumber berita: The Rakyat Post