Pernah dengan tentang ‘boyband’ baru, Qanda? Untuk pengetahuan anda, Qanda merupakan kumpulan yang menggabungkan 5 orang anak muda ini menjanjikan sesuatu yang berbeza dari ‘boyband’ tempatan di tanah air yang juga di bawah naungan Asfan Shah.
Qanda diwakili lima anak muda dari selatan tanah air yang di cungkil bakatnya dan lantas disatukan dalam sebuah kumpulan oleh seorang penyanyi yang tidak kurang hebatnya, Asfan Shah. Mereka terdiri daripada Azlan, Danial, Edaman, Dude dan Aliff. Bukan hanya menjual rupa, selain menyanyi, mereka juga mempunyai bakat bermain muzik.
Lima anggota kumpulan yang datangnya dari selatan tanah air (Johor dan Melaka) menceburkan diri di dalam industri muzik dengan memperjuangkan muzik dari genre pop rock moden. Berbeza dari kumpulan vokal yang sedia ada di Malaysia, kekuatan kumpulan ini adalah menerusi kelainan suara yang dimiliki oleh setiap ahli yang dipadukan menjadi harmoni yang bertenaga.
Kumpulan Qanda adalah idea bernas oleh Asfan yang mahukan industri muzik dipenuhi dengan artis yang berbakat selain bagi menarik minat pendengar untuk lebih mendengarkan penanyi tempatan.
Bila ditanya kepada Asfan, bagaimana tercetusnya idea untuk menubuhkan sebuah ‘boyband’, Asfan memberitahu bahawa negara kita tidak mempunyai ‘boyband’ sepertimana band-band yang kini semakin bertambah, jadi Asfan merasakan seperti terpanggil untuk menubuhkan satu ‘boyband’ untuk mewujudkan lagi variasi di dalam industri muzik.
Menurut kumpulan Qanda, pemilihan ahli untuk kumpulan ini adalah berdasarkan bakat yang mereka miliki. Selain terdiri daripada dua orang adik kepada Asfan (Azlan dan Danial), ahli kumpulan ini mengharungi ujibakat sebelum mereka dipanggil untuk menganggotai kumpulan Qanda. Walaupun hanya diujibakat menggunakan nota suara dari sistem Whatsapp kerana berada di Johor Bharu, Asfan percaya mereka adalah yang terbaik untuk menaggotai kumpulan ini.
Tidak mahu disamakan dengan genre muzik yang popular iaitu K-POP, Qanda adalah berbeza dari muzik dan penampilan mereka. Mempertaruhkan muzik dari genre pop rock modern, mereka ingin dikenali kerana memiliki bakat suara yang terbaik dan bukan hanya bergantung kepada rupa.
Untuk pertaruhan pertama, lagu ‘Cinta Yang Sempurna’, dihasilkan dengan sentuhan lirik oleh Asfan Shah dan komposer Jimi Sofazr. Lagu ini berkisarkan tentang percintaan yang semakin pudar namun kedua pihak tidak mahu melepaskan cinta tersebut dan membiarkan perpisahan mengakhiri percintaan tersebut. Lagu ini dicipta bagi menyampaikan apa yang tersirat di dalam hati seseorang terhadap kekasihnya.
Bercerita tentang penampilan mereka, Qanda mempunyai penampilan dan personaliti yang berbeza. Bagi mereka yang juga mempunyai kumpulan fesyen mereka sendiri di Johor dan Melaka. Mereka cuba tampil mengikut ekspresi mereka sendiri dan tidak mahu cliché namun pada masa yang sama boleh diterima peminat.
Menitikberatkan sambutan peminat terhadap kumpulan mereka, Cinta Yang Sempurna adalah hadiah kepada peminat dari mereka. Sambutan terhadap lagu tersebut dilihat baik kerana ramai yang sudah mula ‘familiar’ dengan lagu mereka itu.
“Kami berharap sangat agar kehadiran Kumpulan Qanda dapat diterima oleh para peminat yang cinta akan muzik dan memberi peluang kepada kami untuk turut bersaing secara sihat,” tambah Asfan mengakhiri perbualan.