Kuasa Tuhan dan berkat doa ramai, akhirnya Diana Rafar dan Zamarul Hisham akan bernikah semula pada 14 Mei ini. Pasangan tersebut bercerai 15 Januari lalu dan hasil perkongsian hidup mereka pada 16 Mei 2009, mereka dikurniakan seorang anak bernama Kashfi Haikal.
Perancangan asal sememangnya pasangan ini ingin ke mahkamah untuk bernikah semula pada tarikh yang sama seperti hari perkahwinan mereka yang lalu. Cuma kebetulan 16 Mei ini jatuh pada hari Sabtu, maka tarikh itu dianjak ke 14 Mei. Bagaimanapun pasangan ini merahsiakan mahkamah mana yang akan menjadi saksi mereka nikah semula.
“Asalnya memang nak tarikh perkahwinan kami menjadi saksi ikatan kami terpateri semula. Tapi apakan daya, ia jatuh pada hujung minggu . Tapi tak mengapa, semua ini sudah tertulis begitu,” kata Zamarul kepada BH Online.
Ditanya mengenai komen untuk bernikah semula, Zamarul memanjat kesyukuran kerana ujian yang dihadapi terhadap kemelut rumah tangga mereka akan berakhir dengan sebuah penamat yang diharap baik sekali gus untuk kebaikan bersama.
“Alhamdulillah ikatan jodoh masih kuat. Ada hikmah di sebalik perceraian kami. Setiap apa yang terjadi membuatkan saya dan dia lebih bersyukur dan menghargai hidup. Kami juga tidak ambil kesempatan di atas perpisahan ini untuk mencari pengganti atau hidup bebas. Apa yang terjadi menjadi ruang kami memperbetulkan keadaan menjadi lebih baik daripada sebelumnya.
“Ruang ini juga menjadi landasan untuk silaturahim yang terputus itu bercantum kembali. Termasuk mengatasi masalah kecil supaya tidak terus melarat. Akhirnya ia juga bertitik tolak kepada niat kami untuk kembali mengecap bahagia bersama. Belum tentu kalau kami ada orang lain, orang kedua mahupun ketiga itu akan jadi lebih baik daripada yang pertama,” katanya.
Diana pula berkata, beliau sangat bersyukur dan semua ini terjadi adalah atas kehendak Tuhan.
“Jodoh pertemuan, ajal maut semua atas-Nya. Kita merancang tapi tak mampu menandingi kuasa Tuhan. Alhamdulillah jodoh kami masih panjang untuk kembali bersama. Kalau berusaha sebanyak mana pun, kalau Tuhan sudah tak izinkan maka tak jadi juga,” katanya.
Sumber: BH Online