Sebuah rancangan TV di Kemboja telah mengeluarkan surat permohonan maaf secara terbuka selepas melakukan “prank” kejam terhadap seorang artis berusia 13 tahun sempena Hari Ibu.
Difahamkan, gadis yang dikenali sebagai Autumn Allen itu telah ditipu seolah–olah beliau akan bertemu kembali dengan ibunya yang hilang sejak tujuh tahun lalu.
Memetik laporan ITV, Autumn, seorang penyanyi dan penulis lirik terkenal telah dijemput sebagai tetamu istimewa untuk rancangan khas Hari Ibu Penh Chet Ort (‘Like it or Not’). Apabila pengacara TV itu berkata Autumn akan bertemu dengan ibunya, penyanyi itu kemudian menyatakan ia seperti impian menjadi kenyataan sambil menitiskan air mata.
Namun begitu, yang menyedihkan adalah pengacara sebaliknya menampilkan seorang pelawak tempatan, Chuop Rolin yang berlakon sebagai ‘ibunya’.
Difahamkan, Autumn berjumpa dengan ibunya buat kali terakhir semasa beliau berusia enam tahun sebelum meninggalkan Amerika Syarikat bersama ayahnya. Kini, Autumn menetap di Kemboja bersama ayahnya dan ibunya dipercayai masih menetap di Amerika Syarikat.
Dalam perkembangan yang sama, rakyat negara itu mula mencurahkan kemarahan mereka berikutan kejahilan rancangan TV tersebut. Kebanyakan mereka berpandangan emosi dengan menyatakan bahawa seorang gadis telah dieksploitasi oleh pengacara rancangan itu. Bagaimanapun, selepas rancangan itu, Autumn mengucapkan terima kasih kepada rakyat atas sokongan mereka.
Penyanyi yang cantik itu juga telah berkongsi gambar surat permohonan maaf daripada rancangan TV tersebut.
Pautan video:
Sumber: Astro Awani