Anda peminat rancangan Asia’s Got Talent? Jangan lupa saksikan keputusan akhir Asia’s Got Talent, malam ini di saluran Astro AXN (saluran 701) dan AXN HD (saluran 721), pada 8.05 malam.
Peserta akhir Asia’s Got Talent terdiri daripada Gao Lin & Liu Xin (China), Gwyneth Dorado (Filipina), Triqstar (Jepun), Junior New System (Filipina), Khusugtun (Mongolia), Gerphil Geraldine Flores (Filipina), El Gamma Penumbra (Filipina), The Talento (Thailand) dan Dance Thrilogy (Singapura).
Peserta yang dipilih sebagai juara Asia’s Got Talent bakal membawa pulang hadiah utama bernilai RM360,000,00 (USD100,000) dan bakal berpeluang kembali ke Singapura untuk membuat persembahan di Marina Bay Sands!
Dua juri program tersebut iaitu David Foster dan Melanie C telah hadir di Kuala Lumpur untuk mempromosikan rancangan keputusan akhir Asia’s Got Talent di DoubleTree by Hilton Hotel, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Selain mereka berdua, turut menjadi juri untuk pertandingan tersebut adalah penyanyi, Anggun dan penyanyi Taiwan-Amerika, Van Ness Wu.
Pada sidang media di Kuala Lumpur itu, David berkata beliau terkejut dengan kebolehan yang dipamerkan oleh para peserta Asia’s Got Talent kali ini dan mengagumi bakat yang berjaya dicungkil dari negara Asia. Sementara itu, bekas anggota kumpulan Spice Girl iaitu Melanie C, yang juga merupakan juri tetap berkata, beliau amat teruja untuk berada di Asia dan mengakui pelbagai kebolehan yang ditonjolkan oleh setiap peserta rancangan tersebut.
David turut menjelaskan punca kegagalan peserta dari Malaysia iaitu Sada Borneo melangkah ke peringkat. Semuanya adalah kerana mereka gagal untuk mempamerkan keaslian budaya dalam persembahan yang ditampilkan. David turut berkata, persembahan kumpulan itu banyak dipengaruhi oleh budaya Barat, selain gagal dalam mengangkat keunikan budaya yang ingin mereka tonjolkan.
“Bagi saya mereka (Sada Borneo) tidak cuba menunjukkan budaya mereka dengan cara tersendiri tetapi sebaliknya mereka lebih meniru budaya Barat. Pada persembahan uji bakat, saya pernah memberitahu mereka tidak perlu menggunakan gitar elektrik dalam persembahan kerana keaslian alatan muzik yang digunakan sudah cukup unik. Bagaimanapun mereka degil dan tetap menggunakan gitar bes pada persembahan di peringkat separuh akhir dan itu menjadi punca kekalahan mereka,” katanya, memetik laporan mStar Online.