Graduan jurusan Fotografi, Muhammad Hasrul Haris Mohd Radzi, 21, mengakui tindakannya tidak salah kerana merakam gambar selfie bersama Pro Canselor UiTM, Tan Sri Dr Arshad Ayub selepas menerima skrol ketika Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-82 berlangsung.
Sambil mempertahan tindakannya itu, Muhammad Hasrul yang menuntut di UiTM Lendu itu meminta maaf atas kejadian berkenaan.
“Saya minta maaf jika tindakan saya ‘selfie’ atas pentas ketika istiadat konvokesyen berlangsung memalukan UiTM, saya tidak mampu mengawal perasaan teruja dan seronok selepas menerima segulung diploma,” katanya yang dipetik dari Harian Metro.
Gambar tersebut menjadi viral di laman sosial itu kini mengundang kritikan ramai pihak.
Muhammad Hasrul berkata, idea untuk selfie di atas pentas datang selepas melihat istiadat konvokesyen sebuah universiti tempatan yang menampilkan graduan Sarjana Muda Seni Persembahan Tari melakukan aksi tarian ketika mahu mengambil skrol.
“Saya fikir tindakan itu tidak salah, mengambil gambar selfie juga simbolik untuk pelajar jurusan fotografi.
“Tidak salah untuk saya ‘merakam’ detik bersejarah dalam hidup selepas bertungkus-lumus selama dua tahun setengah untuk mendapat segulung diploma,” katanya.
Sumber: The Rakyat Post