Pejam celik pejam celik, bulan Ramadan bakal menjelma tidak lama lagi. Jadi, seperti biasa masa inilah ramai yang mula memikirkan biskut raya yang ingin dibuat. Kuih Semperit atau biskut Dahlia telah lama menjadi kuih tradisi sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri yang diraikan di beribu-ribu buah rumah di Malaysia. Berbentuk sekuntum bunga daisi yang sedang mekar dan dihiasi dengan kepingan buah ceri, ia mengimbau nostalgia dan rasa yang unik menjanjikan keenakan yang tidak terperi.
Resepi Biskut Semperit ‘Orange Surprise’ – Resipi klasik ini bukan sekadar sensasi Semperit yang biasa. Kanak-kanak pasti menggemari resepi ini kerana ia menawarkan ledakan kelazatan mentega yang diserikan dengan rasa oren dan dihiasi dengan seribu kilauan.
Bahan-Bahan:-
- 200gm SCS Mentega Bergaram
- 85gm Gula Aising
- 35gm Telur
- 6 sudu teh Jus Oren Pekat
- 20gm Parutan Kulit Oren
- 200gm Tepung Gandum
- 70gm Tepung Jagung
- 70gm Tepung Kastard
- 40gm Gula Berwarna Oren
- 40gm Gula Berwarna Merah
Cara Penyediaan:-
1. Pukul SCS Mentega Bergaram dan gula aising sehingga kembang. Campurkan telur, jus oren pekat dan parutan kulit oren.
2. Campurkan tepung-tepung ke dalam adunan dan gaul sehingga sebati. Masukkan doh ke dalam ‘piping bag’.
3. Bentukkan nombor 8 dan hias dengan gula manik merah dan oren. Bakar pada suhu 150 darjah celcius selama 18 minit atau sehingga masak.