Terkenal dengan sifat keberanian dan karakternya yang dinamik, hos Li Kim sekali lagi akan membawakan sesuatu yang menarik untuk tatapan peminat setia program paranormal di kaca TV.
Telah lama dinantikan oleh penonton, The Paranormal Zone musim ketiga ini akan menyaksikan Li Kim meneroka Malaysia dan Asia Tenggara bagi membawakan satu lagi pengalaman luar biasa buat penonton, bermula daripada penyiasatan seni warisan lama yang terkenal dengan nilai mistik di Indonesia, sehinggalah mencari gali kepercayaan dan kebudayaan enigmatik dalam arus kemodenan Singapura.
Selepas dua musim bersiaran dengan pengisian dan penemuan yang mencabar, The Paranormal Zone musim ketiga kali ini kembali dengan membawakan lebih banyak penyiasatan yang menarik dari negara Asia, sekaligus membolehkan penonton untuk melihat dengan lebih dekat cerita disebalik kisah seram dan isu kerasukan.
Dalam musim baru ini, Li Kim juga akan meneroka kerajaan kriptozoologi dan angkasa lepas termasuk pelbagai kisah kerasukan di Malaysia.
Dihoskan oleh Phng Li Kim, dokumentari yang dihasilkan berdasarkan kisah benar ini akan memaparkan kupasan penyiasatan dan fenomena yang sukar dirungkai dengan penjelasan dengan sasaran untuk memberi maklumat dan pengetahuan kepada penonton mengenai isu secara mistik dan saintifik. Ia juga termasuk dari segi perspektif akademik terhadap satu-satu topik seperti cerita hantu, isu roh termasuk kepercayaan mitos penduduk tempatan. Menerusi program ini, Li Kim akan mengupas isu-isu tersebut dengan mengambil kira sudut pandang para penyelidik, pengamal, pemuja dan mereka yang percaya dengan perkara mistik itu demi memberi gambaran lebih dekat kepada penonton.
Dalam siri ini, penonton akan mengikuti Li Kim meneroka rumah-rumah berhantu dan ditinggalkan di perkampungan di Sabah, berbicara dengan saksi, penyelidik, para saintis dan pengamal tradisional mengenai kewujudan UFO di Malaysia, diikuti dengan penemuan Bigfoot di Malaysia. Selain itu, Li Kim juga akan menjelajah Indonesia untuk mempelajari mengenai ilmu hitam dan sihir, manakala di Singapura pula, Li Kim akan merungkai misteri sebuah rumah yang dikenali dengan nama Death House yang terletak di Sago Lane.
Program The Paranormal Zone musim ketiga merupakan terbitan produksi bersama antara Kechara Media and Publication (Malaysia) dan Syfy NBCUniversal International Networks. Siri ini akan turut disiarkan buat julung kalinya dan secara eksklusif di rantau Asia menerusi Syfy.
The Paranormal Zone akan bersiaran pada 15 Jun, Isnin pada pukul 10.50 malam di saluran Syfy HD, saluran 611 HyppTV dan aplikasi HyppTV Everywhere di telefon bimbit anda.