Untuk pegetahuan anda, kajian yang dijalankan oleh kumpulan penyelidik dari Universiti Sultan Zainal Abidin, UNISZA mendapati, air dari telaga zam-zam dan bijian habbatus sauda mampu mengurangkan ketagihan dadah terutamanya mereka yang ketagihan dadah opiat.
Penyelidikan yang dijalankan ke atas 250 responden dalam kalangan penagih opiat di Penjara Marang, Terengganu mendapati, rata-rata mereka yang dirawat menggunakan kaedah ini menunjukkan kesan positif.
Menurut Timbalan Naib Canselor, Penyelidikan dan Pembangunan UNISZA, Prof Dr Mohd Ekhwan Toriman, penyelidikan ini adalah sebahagian daripada inisiatif UNISZA untuk membangunkan Kaedah Rawatan Komprehensif bagi penagihan opiat.
Tambahnya, penggunaan air zam-zam dan habbatus sauda boleh mengurangkan pengambilan metadon dalam kalangan penagih yang mampu memudaratkan mereka sekiranya (metadon) diambil secara berlebihan.
“Kaedah yang digunakan lebih kepada perawatan Islam dan dilakukan secara menyeluruh termasuklah di peringkat pemakanan, spiritual dan juga kaunseling. Modul Islamic Quality of Life (IQAL) yang kami serapkan ini akan digunakan sebagai komponen untuk penagih-penagih opiat di Terengganu dahulu sebelum digunakan di seluruh Malaysia” katanya.
Info
Habbatus Sauda atau dikenali sebagai jintan hitam (Nigella sativa), merupakan sejenis tumbuhan herba yang berbunga secara tahunan. Ia tumbuh asli di bahagian selatan dan barat daya, benua Asia. Pokok Habbatus Sauda mempunyai ketinggian 20 – 30 meter, manakala struktur daunnya lurus dan halus. Biji Habbatus Sauda yang berwarna hitam akan diproses atau dikisar sehingga mengeluarkan minyak, yang kemudiannya diminum untuk kesihatan atau digunakan dalam perubatan tradisional bagi merawat kencing manis. Di samping itu, terdapat juga yang dimasukkan ke dalam kapsul sebagai ubat untuk merawat penyakit. Habbatus Sauda merupakan tumbuhan herba yang dianjurkan dalam agama Islam untuk merawat pelbagai jenis penyakit.
Opiat merupakan jenis dadah yang dihasilkan daripada opium yang biasa digunakan penagih tempatan di Terengganu. Dadah Opiat adalah campuran yang diperolehi daripada biji popi. Opiat berasal dari candu (opium) yang diperolehi dari sejenis tumbuhan yang dikenali sebagai Papaver somniferum. Candu ini mengandungi pelbagai bahan yang berbeza dan kemudiannya diasingkan dan diproses menjadi morfin dan seterusnya kodein.