Setelah menyaksikan saingan sengit selama sebulan dengan lebih daripada 500 penyertaan diterima menerusi www.strepsils.com.my/therightnote, cik Koh Ai Win akhirnya dinobatkan sebagai juara pertandingan nyanyian Strepsils The Right Note 2015.
Ai Win mengungguli empat pesaingnya yang lain menerusi lagu “Stand up for Love”, nyanyian asal Destiny’s Child yang turut menambat hati para juri yang diketuai oleh legenda seni suara tanah air, Dato’ Sheila Majid pada pusingan akhir pertandingan nyanyian yang diadakan di Berjaya Times Square sempena Hari Suara Sedunia yang disambut pada 16 April setiap tahun.
Pertandingan yang diacarakan oleh DJ popular, Ivan Leong itu turut menyaksikan persembahan bertenaga duta kempen tersebut, Dato’ Sheila Majid mendendangkan beberapa buah lagu popularnya seperti, “Dia” dan “Sinaran”.
Ai Win membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM10,000, residensi tiga bulan bersama bar muzik siaran langsung (live) popular, The Timbre Group, baucar Red Box dan Green Box Karaoke RM500 dan trofi.
Empat finalis lain, Anis Syazwani & Us, Colour of Voices, Muhammad Yaaqub Hambiaq and Pina Musa masing-masing memenangi hadiah wang tunai RM1,000 dan baucar Red Box dan Green Box Karaoke.
“Saya amat gembira dan berbangga kerana berjaya menjuarai pertandingan The Right Note ini,” kongsi Ai Win teruja.
“Ia merupakan peluang keemasan buat saya menonjolkan kemampuan vokal saya dan mempersembahkannya di hadapan orang ramai. Ia memberikan saya keyakinan untuk terus mengasah kemahiran vokal saya bagi menjadi penyanyi profesional.”
Kempen yang diinspirasikan oleh Hari Suara Sedunia itu bertujuan untuk mengiktiraf kepentingan memiliki suara yang sihat. Ia meraikan suara-suara merdu dengan mengetengahkan bakat nyanyian di Malaysia menerusi pertandingan Strepsils The Right Note. Kempen itu juga membolehkan para finalis menjelmakan impian mereka untuk melakukan persembahan di atas pentas.
Turut berkongsi keterujaan pemenang ialah Ketua Pengarah Kreatif Timbre Group, Danny Loong yang berkata: “Saya amat terpegun dengan kehebatan vokal dan penguasaan pentas Ai Win. Dia memiliki aura dan karisma sebagai seorang penyanyi profesional termasuk suara yang merdu dan terpelihara sehingga mampu mencapai nota-nota muzik dengan tepat.”
The Right Note merupakan kempen yang ditaja Stepsils bagi menggalakkan bakat-bakat nyanyian tempatan untuk berkongsi kemampuan vokal mereka kepada dunia. Kempen The Right Note bermula bersama duta kempen, Dato’ Sheila Majid pada 16 April (Hari Suara Sedunia).
Kempen tersebut juga bertujuan untuk memberi penekanan terhadap kepentingan dan keperluan suara yang sihat dalam kalangan masyarakat Malaysia serta dalam masa yang sama, menyokong impian dan cita-cita bakat-bakat nyanyian tanah air untuk membina tapak di dalam industri. Terbuka untuk penyanyi solo, duet dan band, para finalis dipilih daripada pelbagai genre dan stail sama ada muzik rock tradisional ataupun world pop, easy listening mahupun lagu-lagu hit tempatan. Tekak yang sihat dan kelancaran suara membolehkan mereka mencapai nota yang tepat (The Right Note).