Menteri Ekologi Perancis menggesa orang ramai berhenti makan lepa coklat kacang hazel, Nutella yang dikatakan menyumbang kepada kemusnahan hutan.
“Kami perlu tanam semula pokok-pokok, kerana berlaku kemusnahan hutan secara besar-besaran yang turut menyumbang kepada pemanasan global.
“Kita perlu henti makan Nutella, sebagai contoh, kerana ia diperbuat daripada minyak kelapa sawit.
“Ini kerana, kelapa sawit telah menggantikan pokok-pokok, jadi ia mendatangkan kerosakan agak besar kepada alam sekitar,” kata Segolene Royal dalam satu temubual dengan rangkaian televisyen Canal+, pada Isnin lalu.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata, Nutella sepatutnya diperbuat daripada bahan-bahan lain.
Ferrero, syarikat gergasi Itali yang menghasilkan Nutella dalam satu kenyataan pada Selasa memaklumkan, mereka sedar akan risiko ke atas alam sekitar dan telah membuat komitmen untuk menggunakan minyak kelapa sawit secara bertanggungjawab.
Ferrero mendapatkan hampir 80 peratus bekalan minyak kelapa sawitnya dari Malaysia, dengan bakinya datang dari Papua New Guinea, Indonesia dan Brazil.
Dua setengah tahun lalu, senator-senator Perancis cuba melaksanakan cukai sebanyak 300 peratus ke atas minyak kelapa sawit, kerana mendakwa ia menggemukkan dan penanaman kelapa sawit tidak baik untuk alam sekitar. Bagaimanapun, langkah berkenaan gagal dilaksanakan.
Sumber berita: The Rakyat Post