Jika anda perasan di media sosial pasti anda terlihat warga Barat sekarang ini mempunyai kegilaan terbaharu iaitu ‘membakar’ kulit atau sunburn kulit dalam usaha untuk memperolehi corak unik di tubuh badan mereka. Trend seni sunburn ini mula mendapat sambutan selepas hashtag #sunburnart mula dipopularkan di laman-laman sosial seperti Twitter dan Instagram.
Walaupun kelihatan unik dan menarik namun menurut pakar kesihatan kulit, trend ini tidak sihat malah boleh mendatangkan risiko kanser kulit.
Tubuh badan dijadikan sebagai kanvas corak atau lukisan yang diingini sebelum mereka berjemur selama berjam-jam di bawah terik cahaya matahari atau berada dalam mesin tan kulit bagi tujuan itu. Selepas itu, badan akan bertukar ‘artistik’ dengan terbentuknya corak unik seperti dihajati.
Menurut Persatuan Kanser Kulit Sedunia, trend itu adalah sesuatu yang sangat tidak baik memandangkan risiko yang bakal dihadapi sangat berbahaya.
“Kami setegas-tegasnya menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan aktiviti sunburnapa lagi sunburn art. Ianya bukan sahaja menyakitkan malah banyak risiko lain bakal dihadapi sekiranya perkara itu tidak dibendung.
“Sunburn berisiko melenyapkan DNA kulit, meningkatkan kadar penuaan dengan lebih cepat dan berkemungkinan besar anda berisiko menghidap kanser kulit. Menerusi kajian, remaja merupakan golongan paling berisiko menghidap kanser kulit,” kata jurucakap persatuan tersebut.