Terkini, pawagam Lotus Five Star Cinemas (LFS) telah mengambil insiatif mempamerkan notis memaklumkan larangan menggunakan kerusi berkembar atau ‘couple seat’ bagi pasangan bukan mahram tanpa ikatan sah kepada kaki wayang di Seri Iskandar, Perak.
Notis tersebut adalah arahan daripada pihak pengurusan pawagam atas nasihat daripada Majlis Daerah Perak Tengah dan telah mula berkuatkuasa sejak pawagam tersebut mula beroperasi.
Astro AWANI mendapati kebanyakkan pengunjung adalah dari sekitar daerah Perak Tengah dan ianya merupakan satu-satunya pawagam di kawasan tersebut.
Seri Iskandar memang dipenuhi dengan golongan Generasi-Y kerana bandar itu dipenuhi dengan pelbagai institusi pengajian tinggi. Jadi, tidak hairan jika pawagam tersebut menjadi salah satu kawasan tarikan bagi pelajar-pelajar untuk berlibur untuk menghilangkan tekanan atau stress. Pawagam tersebut mempunyai 12 buah ‘couple seat’ serta tujuh bilik tayangan.
Difahamkan beberapa pasangan yang sudah berkahwin yang ditemui ketika tinjauan Astro Awani berkata ianya adalah langkah terbaik terutamanya dalam usaha mengekang gejala sosial dari berleluasa di kalangan generasi muda. Walaubagaimanapun, bagi golongan belia pula ramai yang berkata ianya tidak wajar dan pengunjung wajar diberikan kebebasan dalam menilai tingkah laku dan berfikir secara matang.
Ini antara komen pengunjung di situ:
Seorang pelajar, Farah Atikah Zulkepli berkata: “Ia patut berdasarkan perwatakan individu itu sendiri. Kalau dia hendak buat maksiat, duduk di mana-mana pun boleh kerana pawagam itu gelap. Didikan harus datang dari ibubapa. Didikan daripada rumah sepatutnya dititikberatkan, tidak kisah jika ‘couple seat’ itu ada atau tiada.”
Nor Farhanah Hamid beliau berkata: “Pada pandangan saya, tidak manis jika pasangan bukan mahram untuk duduk berdua di dalam pawagam, ia boleh memburukkan lagi imej kita sebagai seorang Muslim. Kita beragama Islam, ia boleh memburukkan imej negara.”
Azura Zainal Abidin berkata: “Ada pasangan bukan muhrim yang datang ke sini dan bukannya tengok wayang tetapi buat benda lain, tidak elok-lah. Ia juga mengganggu penonton lain. Apabila ada notis larangan, anak-anak dara yang pergi tengok wayang juga tidak perlu risau sebab tiada gangguan.”