Anak Maut Didera Teman Lelaki

KUALA LUMPUR 4 Ogos – Seorang murid tahun satu sebuah sekolah di Taman Kosas dekat sini meninggal dunia dipercayai didera dalam kejadian di sebuah rumah flat di Ampang Jaya, semalam.

Kanak-kanak malang itu, Mohamad Adam Haikal Dasril Abdullah, 7, maut akibat kecederaan pada bahagian abdomen setelah terkena objek tumpul.

Kejadian disedari oleh seorang doktor di Hospital Ampang sebelum membuat laporan polis apabila mendapati kesan-kesan kecederaan pada badan mangsa.

Doktor terbabit sebelum itu cuba memberikan rawatan kecemasan kepada mangsa termasuk bantuan pernafasan semasa dihantar ke hospital berkenaan pada pukul 8.55 pagi.

Bagaimanapun, mangsa gagal memberikan respon dan disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 9.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khai­ruldin Saad berkata, pemeriksaan mendapati badan mangsa mempunyai kesan-kesan merah pada bahagian kemaluan selain kesan luka lama di bahagian kiri pinggang.

“Hasil bedah siasat mangsa yang dijalankan di Hospital Kuala Lumpur hari ini mendapati kematian itu berpunca akibat trauma atau kecederaan pada abdomen (perut) disebabkan oleh objek yang tumpul atau keras.

“Susulan daripada laporan oleh pengadu (doktor), pihak polis telah membuat siasatan lanjut dan menahan seorang kedi kelab golf yang berusia 41 tahun dan ibu mangsa yang berusia 35 tahun di rumah flat di Taman Kosas,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu. Utusan Malaysia difahamkan, ibu mangsa yang be­kerja sebagai pengasuh kanak-kanak mempunyai seorang lagi anak perempuan berusia 15 tahun.

Ibu mangsa yang bercerai de­ngan suaminya kira-kira dua tahun lalu baru sahaja mengenali teman lelakinya beberapa bulan yang lalu.

Mahkamah Majistret Ampang mengeluarkan perintah tahanan reman selama tujuh hari bermula hari ini ke atas kedua-dua suspek.

Majistret Noor Farah Hazwani Osman membenarkan pengasuh kanak-kanak dan kedi golf itu direman mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah bagi membolehkan mereka disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, mereka boleh dihukum gantung sehingga mati.

[SUMBER]

Related Posts