Seorang putera dari Arab Saudi, Putera Alwaleed bin Talal, 60 merupakan individu ke-32 terkaya di dunia mengumumkan akan mendermakan kesemua hartanya bernilai USD32 billion (kira-kira RM120 bilion) kepada badan kebajikan.
Beliau membuat keputusan berkenaan selepas mendapat inspirasi daripada pengasas syarikat perisian terkemuka Microsoft, Bill Gates.
Difahamkan, kesemua wangnya akan disalurkan kepada Alwaleed Philanthropies, iaitu merupakan sebuah badan kebajikan yang sama pernah beliau dermakan sebelum ini sebanyak USD3.5 bilion (kira-kira RM13 bilion).
Kesemua derma tersebut akan digunakan untuk memupuk pemahaman budaya selain membantu memperkasa kaum wanita dan menyediakan bantuan bagi bencana.
Beliau merupakan pengerusi firma pelaburan Kingdom Holding Company di mana syarikat berkenaan memiliki saham di hotel Four Seasons, Fairmont and Raffles, serta News Corp, Citigroup, Twitter dan Apple.
Menurutnya lagi kesemua harta yang didermakannya itu adalah harta peribadinya sendiri dan ia bukannya daripada pemilikan di dalam Kingdom Holding.
“Kedermawanan adalah tanggungjawab peribadi. Saya telah memulakannya lebih daripada tiga dekad lalu dan sememangnya intrinsik dalam agama Islam,” katanya.
Kesemua sumbangannya itu akan mengambil masa beberapa tahun dan akan diselia rapi oleh lembaga pemegang amanah yang turut diketuai beliau.