Bercita-cita untuk membuka rumah perlindungan haiwan satu hari nanti, Yahmuna Sukumar bijak memanfaatkan trend membeli-belah di Instagram bagi mengumpul dana dalam mencapai impiannya. Niat murni anak muda berusia 25 tahun ini dimulakan dengan membuka akaun @itsallaboutcharity pada tahun 2014.
Bezanya dengan instashop Instagram yang kini tumbuh bak cendawan, 100 peratus hasil jualan dari instahop ini akan disalurkan sepenuhnya untuk kebajikan haiwan-haiwan jalanan yang terbiar.
Bagi lebih memahami niat murni yang Wanista kira wajar diberi sokongan, ikuti temuramah ringkas bersama dengan pengasas @itsallaboutcharity ini.
Boleh jelaskan lebih lanjut tentang @itsallaboutcharity?
Itsallaboutcharity adalah sebuah kedai online di Instagram dan Facebook yang menjual produk seperti pelembap bibir EOS, kasut, kaca mata, beg clutch dan banyak lagi. 100% daripada keuntungan daripada jualan didermakan untuk tujuan kebajikan haiwan terbiar. Biasanya saya akan membeli makanan untuk diberikan kepada kucing dan anjing yang ditemui di tepi jalan.
Apa yang memberi inspirasi kepada anda?
Sebagai seorang pencinta haiwan sejak dari kecil, saya mempunyai perasaan untuk menyelamatkan haiwan-haiwan terbiar di jalanan tetapi kemampuan saya sebagai individu tentu sekali terhad, orang ramai hari sebenarnya lebih banyak dan tidak lokek menyumbang kepada pusat perlindungan haiwan sedia ada , tetapi untuk haiwan terbiar di jalanan… mereka kurang mendapat perhatian.
Bagaimana anda menguruskan wang hasil jualan/ derma daripada @itsallaboutcharity?
Kebiasaanya saya akan membeli makanan haiwan dalam tin untuk kucing dan anjing, untuk diberikan kepada haiwan terbiar. Saya juga membeli makanan , pembersih dan beberapa keperluan haiwan yang lain untuk dihantar kepada tempat yang menyokong aktiviti menyelamat haiwan terbiar. Saya akan pastikan setiap aktiviti di- update di Instagram untuk perkongsian dengan follower.
Mengapa menumpukan item fesyen dan kecantikan sebagai item jualan?
Saya mula menjual pelembap bibir EOS secara dropship kerana tidak ada kedai fizikal EOS di Malaysia, paling dekat pun ia boleh didapati di Singapura (bakal dibuka). Saya sendiri juga merupakan peminat EOS dan selepas saya memuat naik gambar di akaun peribadi saya, saya dapati permintaan terhadap produk ini amat menggalakkan . Selain itu, saya juga cuba untuk menjual item lain yang juga mendapat sambutan baik seperti jam tangan, clutch dan sebagainya.
Apa harapan dan matlamat masa depan anda untuk @itsallaboutcharity?
Pada masa ini saya mempunyai kira-kira 700 pengikut di Instagram dan saya berharap dan percaya ia akan meningkat pada masa akan datang. Seperti perniagaan lain, saya harap i@itsallaboutcharity akan terus berkembang dan saya juga sedang berusaha untuk mendapatkan sukarelawan bagi menjalankan laman ini. Selain itu, saya juga memasang impian untuk membuka pusat perlindungan yang pakar dalam mencari rumah untuk haiwan liar.
Pencapaian lain yang ingin dikongsikan?
Saya bersama beberapa rakan pernah berjaya menyelamatkan seekor anak anjing yang sakit dari sebuah gua hasil sumbangan beberapa pihak termasuk daripada pembeli @itsallaboutcharity sendiri. Selain itu, ada juga anak anjing dan kucing yang berjaya diadopsi hasil promosi kami di @itsallaboutcharity. Saya harap, @itsallaboutcharity akan lebih banyak menolong haiwan-haiwan terbiar pada masa hadapan.
Pada yang berminat, boleh lawati :
- Facebook It’s all about charity
- Instagram @itsallaboutcharity
Selain membeli barangan dari itsallaboutcharity, apa-apa jenis sumbangan sentiasa dialu-alukan.