TIANJIN: Beberapa siri letupan kuat berlaku di sebuah gudang di bandar pelabuhan Tianjin di utara China menyebabkan 17 maut setakat ini, lapor media tempatan hari ini.
Laporan menyebut saksi melihat bebola api menjulang ke udara akibat letupan berkenaan pada waktu malam. Seorang wartawan AFP yang berada kira-kira tiga kilometer dari tempat kejadian melihat kilauan bebola api.
Kejadian dipercayai membabitkan bahan letupan yang dimasukkan dalam satu gudang di zon industri pelabuhan itu meletup.
“Bebola api itu sangat besar, mungkin setinggi 100 meter,” kata Huang Shiting, 27, yang rumahnya berdekatan dengan kawasan pelabuhan berkenaan.
“Saya dengar letupan pertama dan sebaik itu semua orang keluar dari rumah dan selepas itu beberapa lagi letupan menyusul.
“Ia menyebabkan cermin tingkap pecah dan ramai orang yang berada di dalam rumah cedera dan berlari keluar dalam keadaan berdarah,” katanya.
Stesen televisyen CCTV melaporkan, 17 orang terbunuh manakala lebih 400 orang lagi dikejarkan ke hospital. Dalam satu posting Twitter, Presiden China Xi Jinping mengarahkan semua bantuan dihantar untuk menyelamat mangsa dan memadamkan kebakaran.
Agensi berita rasmi Xinhua mengesahkan angka kematian berkenaan dan berkata 32 orang mengalami kecederaan parah. – AFP
Berita selanjutnya di : Berita Harian
Gambar selanjutnya di : REUTERS